Thursday 12 January 2017

Tidur Dalam Kereta

Tidur Dalam Kereta
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Tetiba pagi ni teringat saat-saat menghantar suami pergi kerja. Rutin harian saya sepanjang 4 tahun lalu, sejak suami jatuh sakit. Setiap pagi saya akan bergegas menghantar anak-anak ke sekolah. Lepas tu, bergerak menghantar suami. Dulu belom ada lebuhraya Loke Yew. Kami ikut jalan kuari dari Kg Cheras Baru. Jika terlewat dari masa, memang akan sangkut gila. Perjalanan sebenarnya 20-30 minit sahaja. Tetapi jika ada kereta rosak atau kemalangan, masya Allah, mahu cecah 2 jam atas jalan dan tapak kaki bagaikan nak rabak. Sekarang ada lebuhraya baru, 15 - 20 minit dah sampai.

Biasanya Selasa dan Khamis, saya akan hantar suami dan terus lepak di dalam kereta. Sebab nanti, nak bawa dia dialisis. Bayangkan dari 8.30 sehingga 11.00 duduk dalam kereta. Ada masa saya Solat Dhuha di surau pejabat dan adakala, terlena dalam kereta. Dalam kereta juga saya melaksanakan tugasan bisnes.

Ramai orang rasa kesian dengan saya. Tapi kuasa Allah, saya tak pernah rasa terbeban malah saya seronok dapat lakukan itu untuk kekasih halal saya. 
Cecah jam 11.00, saya bergerak ke pusat dialisis. Kat sini saya hanya turunkan suami sahaja. Pastu terus ambil anak-anak kat sekolah.

Anak-anak akan makan dan bersiap ke sekolah agama pada pukul 2.30 petang. Dan selesai anak-anak, saya akan terus ke pusat dialisis dan menunggu sehingga habis waktu. Sekali dialisis 4 jam dan biasanya dalam lingkungan 3.45 dah selesai. Macam biasa, bawa dia pergi makan dulu dan balik rumah.

5.30 petang, saya akan jemput anak-anak dari sekolah agama. Rehat sebentar sementara nak masak untuk malam. Selepas makan malam, anak-anak akan buat kerja sekolah. Dalam lingkungan 10 - 11 malam, semua kena tidur supaya senang bangun pagi.

Tapi sejak November lepas, saya dah tak hantar dan ambil suami dari pejabat. Saya jatuh sakit dan pernah tersadai tepi jalan. Terpaksa memanggil ambulans. Sejak itu, saya diminta oleh suami untuk berehat.

No comments:

Post a Comment