Monday 23 January 2017

Detik Cemas

Detik Cemas
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com


www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Dah 2 hari saya tak berkarya di sini. Ada yang rindu tak? Maafkan saya yea, ada urusan yang tak dapat dielakkan.
Entri kali ini dicadangkan oleh rakan-rakan blog dan cikgu blog saya. Berkongsi kisah yang perlu kita ambil tahu dan beri perhatian serius, iaitu bab buli.

Sikembar saya ni debab orangnya, kawan-kawan suka mengusik dan membuli mereka. Sebagai ibu, pada awalnya saya melenting juga. Tetapi budak sekarang, pandai memutar belit cerita dan pihak kita dipersalahkan. Jadi, saya pun tertanya-tanya bagaimana sikap anak-anak saya di sekolah. Sehingga saya memberi amaran pada anak-anak, " Kalau kamu mengadu dengan ibu, kamu ibu pukul dulu. Kemudian baru ibu tanya kawan-kawan kamu."

Sebagai ibu, kita tak boleh mengiyakan sahaja cakap anak-anak. Kita kena juga siasat. Tapi bagaimana nak siasat, kita di rumah mereka di sekolah? Jadi kita berdoalah semoga Allah melindungi mereka.

Sejak saya memberikan mereka amaran, mereka tidak lagi mengadu apa-apa. Dan dari pemerhatian, tiada juga kesan-kesan kecederaan. Bukan apa, anak saya semua lelaki. Saya tak naklah mereka manja, saya nak mereka tahan lasak dan berdikari.

Sehinggalah berlaku sesuatu yang tidak disangka-sangka.
Tengahari Jumaat lalu, saya macam biasa menjemput anak-anak. Saya memerhatikan mereka dari tapak perhimpunan. Dari atas saya melihat kembar (adik) melambai dan memberi isyarat umpama dicekik. Saya senyum je dari bawah dan disebabkan itu, dia bersama kawan sekelas berlari menuruni tangga dan berlari kepada saya. Manakala kembar (abang) dipimpin oleh 2 rakannya dalam keadaan lesu.

"Acik, Fitri kena cekik dengan budak kelas sebelah." Saya bertanya kepada anak, betul ke?
Terkejut bila anak tidak boleh bercakap. Lagi terkejut ada kesan merah dilehernya seperti jari.
Subhanallah...Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. Gugur rasa jantung saya.

Saya bawa anak ke bilik guru untuk melaporkan pada guru disiplin. Kerana terkejut dan mengah naik tingkat 3, saya pula hampir pitam. Saya mohon untuk dipercepatkan soal siasat dan memohon guru tersebut melihat kesan dileher anak. Setelah guru menangkap gambar leher, saya membawa anak pulang.

Suami segera pulang dan meminta bantuan anak buah untuk memandu kereta kerana keadaan saya tak mengizinkan.
Mulanya kami ke klinik berhampiran sahaja. Tetapi doktor meminta terus ke hospital untuk rawatan susulan kerana bimbang ia melibatkan kecederaan peti suara.

Dari doktor di unit kecemasan, anak dirujuk ke Pakar ENT ( Pakar telinga, mulut dan tekak). Pemeriksaan dilakukan satu per satu. Jika ia memudaratkan, kami bercadang untuk membuat laporan polis.

Setelah selesai memasukkan kamera ke dalam rongga. Anak boleh bersuara kembali, mungkin kerana kesan ubat bius tadi. Doktor Pakar telah memastikan bahawa tiada kecederaan dalaman. Mungkin kesan kesakitan luaran dan ketakutan atas kejadian, membuatkan suaranya tersekat.

Alhamdulillah, walaupun begitu kami tetap kena memantau keadaan anak. Jika berlaku perubahan dari sudut pernafasan, leher makin bengkak dan muntah kami haruslah segera ke hospital.

Sepanjang saya di hospital, pihak sekolah ada menelefon bertanyakan khabar anak dan meminta maaf atas kejadian yang berlaku. Isnin nanti, kami akan berjumpa dengan pihak sekolah.

Pesan dan peringatan bersama.
Sebagai mak ayah, kita kena memantau sikap dan perangai anak-anak. Anak-anak di rumah dan di sekolah berbeza.

Berlapang dada menerima teguran orang ramai tentang anak-anak kita. Saya tidak meletakkan 100 peratus kepercayaan pada anak-anak. Saya memantau mereka sejak kes buli ini berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Saya juga sering memerhati sipembuli anak-anak ni. Ada sesetengah mak ayah tak boleh menerima apa yang anak mereka lakukan dan menjadikan kita musuh. Kalau saya tahu sebegitu, awal-awal saya buat report polis. Nak sangat rasa kan? Yang sakit anak saya tau.
Hsopital dan klinik seringkali jadi rumah kedua kami kerana anak sering sakit.

Sehingga satu saat, saya sangat penat. Tiada lagi bicara baik. Mereka melakukannya lagi, mereka akan berhadapan dengan saya. Pernah seorang budak ni, saya menyebut nama dia depan-depan. Dia buat tak tahu walhal saya tahu dia (kurang ajar kan) sehingga rakan disebelah menunjukkan dia kepada.

Asalnya saya bertanya secara baik dan lembut. Dia menjawab setiap apa yang saya perkatakan. Wah, kurang ajar sungguh budak ini. Tahu tak apa saya buat?

Saya menengking dia di khalayak ramai. Saya menyuruh dia diam dan mendengar apa yang saya perkatakan. Saya juga meminta rakan-rakan yang mendengar menjadi saksi jika dia menyampaikan kepada mak ayahnya apa yang saya buat, saya suruh mereka bagitau agar mak ayahnya bersemuka dengan saya.

Sejak itu, bila melihat kelibat saya mereka akan mengelak. Ada yang pernah bertembung dengan saya, terberhenti dan berbisik sesama mereka " Ibu Fitri, Firdaus lah." Dan terus berlalu menghilang diri.

Tapi saya ambil pendekatan sebegini, apa yang dah berlaku biarlah berlalu. Biasanya saya akan berlembut kembali. Tidak seperti yang lain, memandang dengan pandangan garang. Kita pernah jadi budak. Tersalah laku bukan untuk dihukum seumur hidup tetapi dibantu untuk berubah. Mungkin mereka kurang kasih sayang.

Mereka macam anak-anak kita, bila salah kita marah dan tegur agar berubah. Kita tak membenci kan? Begitu mereka. Saya masih mengukir senyuman pada pembuli itu walaupun dalam perwatakkan tegas. Bukan apa, supaya mereka tak naik lemak. Hahaha.

Inilah permata hati saya dan suami, semoga menjadi anak-anak soleh dan berjaya didunia dan diakhirat. Gambar 2 tahun lalu.



Ya Allah, lindungi anak-anakku di bawah perlindunganMU yang Maha Agung. Sihatkan tubuh badan mereka. Permudahkan mereka menuntut ilmu hingga ke SyurgaMU. Aamiinn


Maziana Zainal

No comments:

Post a Comment