Saturday 28 January 2017

Banjir

Banjir
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com


www.mazianazainalabidin.blogspot.com


" Mak, bila hujan nak berhenti ni?"
" Mak ayah! Air dah naik sampai lantai depan rumah. Rumah kita nak banjir ke?"
" Ye ye, banjir. Jom main lumba sampan."

Itulah antara dialog zaman kecil saya tatkala musim hujan dan banjir. Kita seronok tapi mak ayah dah risau bagai. Barang mana nak letak atas supaya tak kena banjir. Almaklum kami rumah kedai, yang dirisau adalah barang dagang di dalam kedai di tingkat bawah.

Zaman budak, apa yang kami tahu selain bermain. Banjir hanya cecah betis sahaja. Kami bermain lumba sampan kertas. Seronok sangat. 

Foto : Google

Sedang seronok, zas zas betis kami kena rembat dengan mak. " Siapa suruh main air banjir? Tahu tak air ni kotor, nanti kena kudis buta. Nak ke?"
Masa tu, sebut je kudis buta memang menakutkan.

Banjir yang menimpa kami tidak sehebat banjir masyarakat sekeliling kami. Ya Allah, sedih tengok mereka. Biasanya sekolah rendah kami akan ditutup untuk penempatan mangsa-mangsa banjir.

Kenangan terindah sewaktu banjir.
Waktu tu, di kampung ada kenduri kahwin kakak sepupu. Kami kenalah balik, dari Temerloh ke Pekan. Jalan ditutup untuk semua kenderaan kecil kecuali lori besar. Masa tu, ayah ada lori besar (treler), memang besar sangat.

Saya, kakak dan abang duduk di belakang lori tanpa bumbung. Berpayung biasa je tatkala hujan turun. Bayangkan macam mana seronoknya tengok banjir disekeliling kami. Biasa bot meredah banjir tapi kami, treler meredah banjir.

Siap bentang selimut toto dan bantal untuk kami tidur. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke destinasi.

Haa, itulah kenangan saya dengan banjir.
Beberapa hari lalu, saya ke daerah itu untuk sekian kalinya. Diberitakan bahawa air sungai naik, sedangkan kami ada urusan penting di sana.
Dengan bantuan Pegawai Bomba daerah itu ( merupakan kawan kepada suami), pergerakkan kami terancang dengan maklumat darinya.

Awalnya kami sampai, air memang jelas kelihatan di tepi-tepi jalan raya. Melintasi sekolah rendah, " Tengok tu sayang, padang sekolah masih nampak." kata suami saya. Hati lega seketika.
Bermalamlah kami dengan tenang di situ. Tetapi di awal pagi, suami mengejutkan saya " Sayang, tengok tu air sungai semantan dah nampak naik belakang hotel ni. Kita tukar plan."

Kami terpaksa menguruskan urusan kami dengan kadar segera. Berkemas-kemas untuk pulang ke Kuala Lumpur walhal rencana kami ingin pulang keesokkannya. 

Dalam perjalanan menuju susur keluar Tol Temerloh, kami memandang sekeliling kawasan.
Ya Allah, cepatnya air sungai naik. Padang sekolah yang saya khabarkan di awal tadi, telah bertukar wajah menjadi seperti kolam ikan.

Dan saat ini, dikhabarkan keadaan di daerah itu makin parah. 
Ya Allah, Engkau lindungilah sahabat handai,saudara mara dan semuanya di sana dari malapetaka yang tidak diingini. Dan KAU berikan mereka kekuatan dan kesabaran atas ujian ini. 

Aamiin Ya RabbalAlamin


No comments:

Post a Comment