Thursday 18 October 2018

Kebas Kaki ~ Kencing Manis

Teks: Maziana Zainal
Sumber: Google dan Maziana Shoppe

Kebas kaki biasa dialami oleh pesakit kencing manis (diabetes).
Tahukah anda, hampir 70 peratus penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf yang boleh membawa kepada amputasi (pemotongan anggota badan) jika penjagaan dan langkah pencegahan yang betul tidak diambil.

Adakah anda juga mengalami gejala sama?


Sekiranya anda mengalami sebarang gejala kerosakan saraf yang biasa, jangan biarkannya kerana kesan pengabaian yang paling kejam boleh membabitkan pemotongan kaki. Marilah kita lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai neuropati diabetes (kerosakan saraf) dan apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan komplikasinya.
Memahami neuropati diabetes
Perkataan neuropati terbit daripada dua bahagian iaitu neuro yang merujuk kepada saraf dan pati iaitu penyakit. Kerosakan saraf yang disebabkan diabetes dipanggil neuropati diabetes. Neuropati periferal ialah satu keadaan yang membabitkan saraf di luar sistem saraf pusat, terutama pada tangan dan kaki.
Saraf ialah talian perhubungan dalam tubuh kita. Isyarat elektrik dari otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian tubuh. Tubuh menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat ini ke otak melalui saraf.
Majoriti daripada saraf periferal bertanggungjawab memberikan sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan saraf yang berakhir di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda yang dicipta untuk mengelak daripada bahaya dan jauh daripada benda yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.
Tahap keseriusan gejala kerosakan saraf akibat diabetes berbeza daripada seorang pesakit kepada seorang pesakit yang lain. Anda mungkin berasa berdenyut-denyut atau kebas pada kaki dan tangan, iaitu tanda biasa kerosakan saraf akibat diabetes. Rasa terbakar dan tiada rasa juga ialah gejala biasa bagi kerosakan saraf.
Kehilangan rasa sering membawa maksud anda mungkin tidak merasa kecederaan pada kaki. Mungkin terdapat paku tekan atau batu kecil di dalam kasut anda dan anda terus berjalan sepanjang hari tanpa menyedarinya. Sesetengah orang akan berasa kesakitan yang tajam mencucuk, manakala orang lain pula merasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum.
Bagaimana kerosakan saraf akibat diabetes membawa kepada amputasi?
Pemotongan ialah komplikasi neuropati yang boleh menjadi serius. Tahukah anda bahawa risiko pemotongan kaki ialah 27.7 kali lebih besar kepada seorang penghidap diabetes berbanding seorang yang normal?
Kemungkinan seorang penghidap diabetes terpaksa dipotong kaki lebih besar berbanding dengan individu lain yang sihat. Ramai penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf akibat diabetes yang mengurangkan kepekaan rasa pada kaki menyebabkan mereka tidak sedar kecederaan yang dialami dan ini boleh membawa kepada pemborokan (ulser) kaki.
Ramai penghidap diabetes turut menghidap penyakit arterial periferal yang mengurangkan aliran darah ke kaki dan melambatkan proses penyembuhan luka, seterusnya meningkatkan risiko terjadinya jangkitan. Semua masalah ini membuatkan pesakit mudah mendapat jangkitan yang teruk yang membawa kepada amputasi kaki.

Stokin Terapi:



Lihat testimoni diatas. Ini adalah testimoni dari pelanggan Kak Maz. 
Digalakan dipakai sewaktu bekerja dan tidur malam, ia membantu mengurangkan rasa kebas dan bisa kaki.

Dicadangakan memakai stokin terapi berwarna putih untuk tidur malam. Lebih efektif. In shaa Allah.







Family Day DIA

Teks: Maziana Zainal


Perjalanan jauh kami kali ni, bersama mak ayah dan anak-anak tersayang bagi memenuhi undangan hari keluarga Diploma Perakaunan (DIA - Diloma In Accountancy).

Kebetulan anak-anak dah habis menduduki peperiksaan UPSR kan. Kita reda ketegangan yang melanda mereka sepanjang perjalanan kehidupan dari peristiwa pemergian ayahanda mereka. Menumpang kasih dari sahabat-sahabat DIA Kak Maz.

Perjalanan kami bermula pada hari Jumaat, cadangnya hendak ke Pejabat Pesaka di Bangi. Tetapi terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca sepanjang perjalanan yang kehujanan. Berhenti seketika menunaikan tanggungjawab insan bernama lelaki, ayah dan anak-anak lelaki Kak Maz.

Dari nak ke Bangi, kami terus ke Kajang. Rumah mertua adik bongsu, adik memang tinggal bersama mertua. Dan kebetulan pelanggan Kak Maz juga ada di sana, dia menempah stokin terapi dan choco&nut. Kak Maz memang macam ni, kalau berjalan, tak mau kosong je. Kita ambil peluang buat income (pendapatan). Maka, penuh lah kereta. Hahaha.

Malam ni kami bermalam di rumah abang, Bandar Enstek. Dari Kajang, adik Kak Maz bawa. Peh! Mabuk Kak Maz. Migrain dan muntah-muntah. Selama ini Kak Maz jadi drive, bila kena jadi mem(puan) besar, memang tak tahan. Adoii, nasib badanlah dik, akak level drive je mampu. Hahaha.

Keesokkannya, kami bertolak ke Port Dickson tengahari bersama keluarga abang. Kak Maz tak tahu jalan, almaklum akak ni rekod sesat cukup hebat. Kebetulan malam tu nak buat kejutan pada mak ayah, hari ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 54.

Sesampai di resort, selepas makan anak-anak terus terjun kolam sehingga lewat petang. Mak aii, memang tak ingat dunia mereka bermain sehingga lewat petang. Tak nak join games family day, nak main-main dalam kolam je katanya mereka.

Malam ni makan malam bertemakan retro. Tapi kami tak ikut, kang orang kata apa kan. Arwah tak sampai setahun meninggal. Kak Maz cuma nak anak-anak gembira dan mak ayah happy bersama anak, menantu dan cucu-cucu. Ops lupa bagitau, keluarga adik bongsu sertai kami juga.

Hari terakhir di sana, kami menyertai sukaneka. Angah sahaja yang sertai team pasukkan sahabat sahabat DIA. Along dan adik sibuk nak mandi kolam. Malangnya, dalam ralit Kak Maz memerhatikan kegembiraan Angah, rupanya Along demam. Allahu. Mujur ada mak ayah dan adik tolong tengukkan.

Angah seronok bermain bersama mereka. Gelak ketawa bersama. Iyea, mereka juga tahu perjalanan dan liku liku kami sekeluarga. Tujuan Kak Maz memang nak mereka kenali karaktor orang berjaya dan berkerjaya. Kegilaan mereka, tanpa ada iri hati dan perbalahan.

Erti persahabatan bukan boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi dengan keikhlasan dan kejujuran kita bersahabat.

In shaa Allah, tahun depan mereka nak sertai lagi.
Mengembirakan mereka, satu kepuasan. Terasa bahagia walaupun hati masih bersedih kehilangan.

Wednesday 3 October 2018

Penangguhan Tempahan Temosa

Assalamualaikum
Sejak berblog ni, sambutan temosa sangat memberangsangkan. Alhamdulillah.
Tetapi sejak arwah meninggal dunia, Kak Maz kena fokus pada anak anak.

Pergi dan balik Kak Maz sendiri buat termasuklah anak anak abang. Bila dah petang, memang penat. Lagi penat bila anak jatuh sakit yang tak pernah nak baik. Ia sangat bersangkut paut dengan emosi.
Kak Maz penat bermain emosi.

In Shaa Allah, cuti sekolah nanti Kak Maz buat stok. Nak buat ni kena fokus.

Harap harap customer Kak Maz memahami situasi ini yea. Sayang korang semua.

Kerinduan Tak Bertepian

Sesungguhnya Allah Maha Tahu akan perasaan ini. Bukan perasaan Kak Maz, tetapi anakanda. Tetiba malam ini merindukan arwah ayahnya.

"Kita kena rasa bahagia kerana ayah dah bahagia disana. Dah tak sakit." Lalu Kak Maz tunjukkan gambar arwah ayahnya sewaktu dihospital dulu.

"Lihat ayah bertebuk leher, tiub masuk hidung. Tahu tak, hidung ayah sampai melecet dek plaster tu. Tengok gambar ni, ayah memandang tetapi kosong sahaja. Masih nak ayah hidup? Sanggup ke ayah dikeji orang? Jadi, anak anak ibu kena buat baik, solat jangan tinggal dan hadiahkan ayah dengan bacaan Surah AlFatihah."


"Baik ibu."

Sebenarnya hati seorang isteri seperti ibu juga terpalit kerinduan yang tak bertepian. Ibu kuat kerana kamu. Kita kena sama sama kuat kerana kita insan terpilih, dipilih Allah untuk ujian ini.

Kekuatan yang kita cipta untuk ujian ini, adalah untuk kejayaan yang bakal kita perolehi di masa mendatang. In shaa Allah.

Monday 1 October 2018

Aku Bahagia





Aku bahagia Ya Allah
Aku bahagia dinikahi oleh arwah suamiku
Aku bahagia bersamanya hingga ke hujung hayat
Aku bahagia memeluknya, menciumnya dan mengiringinya dengan kalimah Allah disaat dia dijemput Illahi
Aku bahagia bahawa hanya aku yang dicintainya hingga nafasnya yang terakhir

Aku bahagia punya anak bersamanya
Aku bahagia Ya Allah
Aku bahagia dapat merasa kasih sayangnya


Aku bahagia arwah telah KAU jemput dengan penuh kasih sayang
Aku bahagia arwah tidak lagi menderita sakit
Aku bahagia arwah tak perlu lagi dialisis
Aku bahagia arwah tidak lagi tertekan dengan tocer majikkannya dan insan yang berhati busuk
Aku bahagia Ya Allah

Aku bahagia masih merasa kasih sayangnya
Aku bahagia kerana terasa cintanya
Aku bahagia merasai kasih sayang orang yang pernah arwah berikan kasih sayang
Aku bahagia bila kawan kawan sering menceritakan kebaikkan arwah yang tak pernah aku tahu

Aku bahagia
Aku bahagia Ya Allah
Aku bahagia aku dan anak anak menjadi sebahagian darinya.
Alhamdulillah, sesungguhnya aku bahagia.