Monday 16 January 2017

Jodoh Yang Tertunda

Jodoh Yang Tertunda
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Jodoh adalah pertemuan dan penyatuan antara wanita dan lelaki dalam ikatan suami isteri. Penyatuan yang sah berlakunya apabila Ijab dan Qabul disempurnakan. Betul ?

Tetapi cinta?
Pertemuan 2 hati yang saling menyayangi dan mengasihi. Tetapi belum boleh dikatakan jodoh.
Kerana titik nokhtah cinta boleh berlaku tatkala hati telah hilang.
Eh, jodoh pun boleh berakhir bila cinta kita beralih arah. Oh, itu namanya tiada jodoh. Kalau belum berkahwin, namanya putus cinta.

Nampak tak bezanya?
Sebelum berkahwin, saya sering putus hubungan. Putus hubungan pula, apa bezanya?
Hahaha, putus hubungan bermakna perhubungan yang belum tahap bercinta. Baru detik kenal mengenali sahaja. Oo, begitu.

Nak sambung cerita tak? Cerita cinta semua orang suka, sumber inspirasilah konon. Tapi cerita kami berbeza.

Lapan tahun menanti.
Perkenalan kami agak unik. Sama-sama dalam unit Persatuan Bulan Sabit Merah, saya hanyalah seorang pelajar dan suami pula Pegawai dari Ibupejabat Bulan Sabit Merah.

Dulu saya ni sangat aktif berpersatuan, sana sini kursus dan perkhemahan saya sertai tetapi dalam daerah yang sama. Kerana ayah saya seorang yang tegas, anak perempuan tak boleh agresif macam anak lelaki.

Dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, minat terhadap persatuan ini amat tinggi.
Bermula sebagai ahli biasa, sehinggalah menjadi Presiden selama 2 tahun berturut-turut.
Pernah satu peringkat, ada kecemasan di sekolah. Saya dipanggil dengan menggunakan mikrofon meminta ke tempat kejadian. Wow! Glamor tau. 
Sebut nama saya, mesti dikaitkan dengan PBSM. Sebut PBSM, mesti dikaitkan dengan saya.
Macam kekasih sehati sejiwa.

Saya bergaul dengan semua orang termasuklah pegawai-pegawai atasan. Tiada beza, mereka macam kawan-kawan. Sehingga saya sendiri tidak tahu, ada yang menaruh hati dalam diam.

Saya tidak bercinta kerana memegang amanah orang tua, zaman belajar tak usah gatal bercinta. Seusai habis pengajian tinggi, saya belom berpunya. Bukan tak ada yang usha, ada je tetapi saya tak melayan malah saya menjauhkan diri. Bagi saya, semua adalah kawan.

Bertemu kembali dengan suami tatkala saya sedang menunggu masuk ke pejabat baru. Kisahnya bermula sebegini. Saya menyertai satu aktiviti bersama anak-anak jagaan PNB di Pantai Balok, Kuantan. Sedang asyik melayan mereka, tiba-tiba hadir seorang pelajar menjerit kesakitan akibat disengat tebuan. Saya menghulurkan bantuan. Merawat sambil memujuk pelajar itu, kerana sakit dan takut. Sengat tebuan kot, kalau kita pun mahu memanggil mak kan.
Selesai merawat, saya terus teringatkan pegawai yang banyak membantu saya dalam menaikkan nama pasukan saya suatu ketika dahulu. 

Dan bermulalah getaran jiwa suami bilamana tahu saya menghubunginya kembali. Asalnya saya menghubungi dia adalah untuk mengaktifkan semula semangat PBSM saya. Tetapi berlaku sebaliknya. Saya terus dilamar beliau. 
Gopoh atau gelojoh? hahaha
Rupanya dia sudah lama menaruh hati dengan saya, lapan tahun katanya. Hanya dalam tempoh 3 bulan sahaja, kami diijabqabulkan. Sempat ke 3 bulan bercinta?
Kami tak bercinta, cuma belajar kenal hati budi.

Bila dah sampai masanya.
Majlis kami cukup tersusun indah, sebelah pagi kami bertunang dan malam kami akad nikah. Manakala besoknya, kami bersanding.
Bagaikan mimpi, bukan saya sahaja yang terkejut malah semua sedara mara. Apa tidaknya, adik saya yang bertunang dahulu dan saya yang berkahwin. Yang paling seronok, bila kawan-kawan PBSM saya dan suami terkejut.
"Bila masa korang bercinta? Korangkan selalu tak sependapat."
"Kenapalah dari dulu tak kahwin, sekarang tentu anak ramai."

Saya diraikan dengan 2 lagi majlis, jemput menantu dan dipejabat suami. Hanya selang seminggu. Penat tu, hanya Allah yang tahu. Hadiah kami hampir separuh bilik.
Rezeki kahwin di usia matang (tak mahu sebut tua ye, 27 tahun dan suami 33 tahun).

Selepas sah perhubungan, kami tidak duduk sebumbung kerana bekerja. Hujung minggu sahaja bertemu. Dan detik ini adalah detik kami belajar menanam benih cinta. Sebenarnya saya yang belajar mencintai kerana dia dah lama menyintai saya.

Alhamdulillah, rezeki kami. Bunting pelamin lah orang tua-tua cakap, saya disahkan hamil bayi kembar. Allahuakbar, semua orang tak percaya termasuk orang tua saya sehinggalah gambar scan bayi nampak jelas.

Dalam perkahwinan ini bila kita terima segalanya dengan ikhlas dan redha, Allah mempermudahkan serta memperindahkannya dengan sempurna. 
Dari awal bertemu hingga ke saat ini, rezeki datang cukup indah. Walaupun terkadang kami diuji dengan seberatnya, namun Allah tahu kami mampu bertahan.

Usia perkahwinan kami mencecah 12 tahun, dikurniakan 3 jejaka hebat yang sihat dan In shaa Allah soleh. Alhamdulillah, kami bahagia bersama.
"Ya Allah, berkatilah jodoh kami hingga ke jannahMU bersama insan-insan yang ku sayangi."
Aamiinn.

Maziana Zainal
Bisnes Sejuk Beku (Frozen Food)

No comments:

Post a Comment