Monday 16 January 2017

Teknik Merawat Ayahanda Bonda

Teknik Merawat Ayahanda Bonda
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Tak terlintas di fikiran saya akan menjaga dan merawat orang tua sakit. Dan orang tua itu adalah mertua kita. Alhamdulillah saya dah laluinya dengan baik sehinggalah arwah meninggalkan kami.

10 tahun arwah mengidap angin ahmar.
Kebetulan suami ada kerja di Temerloh dan ketika itu bulan puasa, arwah diserang angin ahmar. Ketika itu saya baru lepas habis berpantang di Kuantan. Dek kerana saya baru bersalin, tanggungjawab menjaga arwah diambil alih oleh cucu arwah. Kami sering melawat dan membantu menyediakan peralatan untuk arwah. 

Tak lama kemudian, tanggungjawab itu beralih kepada kami semula walaupun ketika itu sikembar masih kecil. Bayangkan, menjaga anak kembar yang kecil dan ayah mertua yang strok. Bukan senang, bukan mudah.

Bila ingin memandikan ayah, suami akan meminta bantuan kawannya memandikan ayah. Dan ketika ayah membuang air besar, suami akan balik sebentar membersihkannya.

Pada awalnya, saya tak mampu melakukannya. Terasa amat janggal untuk melakukannya.
Tetapi akhirnya, saya terpaksa melakukannya kerana hujan lebat dan suami tak boleh balik.
Allah je tahu macam mana. Termuntah-muntah saya nak mencucinya, diganggu oleh si kembar lagi. 
Memang saya menangis ketika itu, manakala ayah juga menangis. Allahuakbar.

Timbul keinsafan.
Merenung kembali apa yang berlaku, timbul rasa sedih dihati. Jika ini ayahku, adakah sanggup aku membiarkan punggungnya dipenuh najis? Adakah aku sanggup orang lain mencuci dan melihat seluruh badan ayah?
Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah.

Saya memanjatkan doa kepada Allah:
"Ya Allah jika ini telah tersurat di dalam takdirku, aku terima dan aku redha. Engkau permudahkan bagiku. Engkau peringankanlah segala yang sukar bagiku."

"Ya Allah jadikanlah ia pembelajaran ku, agar aku dapat berkhidmat untuk orang tua ku kelak tanpa sebarang kesulitan."

Memang benar, jika kita ikhlas dengan ujian Allah. Dan kepadaNYA juga kita memohon, maka DIA juga yang mempermudahkannya.

Lama-lama ia menjadi lali dan mahir.
Dengan bantuan suami dan mak sedara, saya belajar mengendalikan ayah dengan baik. Alhamdulillah, arwah kami jaga tanpa ada kudis dibadan. Sehingga nafasnya yang terakhir.

Teknik merawat.
Prinsip utama:
- Buang ego diri
- Semai kasih dan sayang dalam diri
- Ikhlas dan redha dengan amanah ini

Penjagaan merawat:
1. Lampin pakai buang (bagi ayah mak yang tak boleh bergerak)
2. Botol semburan (spray)
3. Dettol
4. Bedak talkum
5. Minyak 
6. Losyen ( Vaseline aloe vera)
7. Pelapik tilam
8. Tisu
9. Sarung tangan

Lampin kena salin sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Campuran air dan dettol untuk mencuci tempat yang sulit. 
Lampin saya letakkan minyak, minyak herba berubat Nona Roguy dan bedak. Supaya kulit tidak meruam. Atau anda boleh sapukan losyen disekeliling dan diseluruh badan.
Manakala pelapik tilam juga ditukar, setiap kali tukar lampin.

Bagaimana nak cuci kalau najis besar?
Kaedah ini saya belajar sendiri demi memudahkan pekerjaan, Iyalah, saya melakukannya seorang diri, kena carilah cara yang mudah dikendali.

Anda mengiringkan dia, bukakan lampin. Tarik bahagian depan ke belakang sambil menolak najis (macam kita cuci najis bayi, kalau bayi kita terlentang). Cucilah, spray pada tisu dan lap sehingga najis semua bersih.

Untuk memakai lampin.
Dengan kaedah yang sama, anda mengiringkan dia terlebih dahulu. Lekapkan lampin ke punggung dia, pastikan bahagian hujung sama panjang kiri dan kanan. Tolakkan hujung lampin ke bahagian bawah badan yang tertindih tadi.
Terlentangkan badan, dan kemaskan macam kita pakaikan pada bayi.
Siap.

Faham tak?
Kalau geli, pakailah sarung tangan dan penutup mulut. Awal dulu, saya sapukan sedikit minyak cap kapak pada penutup mulut.

Pernah dulu masa menunggu suami di wad hospital, saya bertemu dengan waris yang kena menjaga orang tuanya. Dia bersunggut-sunggut kerana jururawat lambat tukar lampin ibunya.
Saya pun cakap kat dia, saya menjaga ayah mertua yang strok dan melakukan apa yang dia tak pernah lakukan.
Dia terkejut, kerana saya berbuat begitu pada seorang bergelar ayah mertua sedangkan dia, ibunya sendiri. Saya ajarnya bagaimana nak melakukannya. Riak wajahnya yang sedih tadi bertukar menjadi seorang yang berkeyakinan.
Sebelum berlalu, dia mengucapkan terima kasih.

Saya hanya sekadar berkongsi apa yang saya lalui dan lakukan. Kini tiada lagi istilah geli atau tak tahan bau busuk. Pernah suatu ketika, saya menemani ibu di dalam tandas kerana beliau sakit susah nak buang air besar. Tak sedikit pun rasa geli atau mual.

Ya Allah, mungkin ini hikmahnya. Saya berjaya harungi situasi itu.

Anak-anak semua, ingat janji Allah tau. Menjaga dan merawat orang tua, pahalanya berganda-ganda. Ada orang kata, hanya insan terpilih sahaja yang Allah pilih untuk amanah ini.
Ada yang cemburu kerana tak dapat orang tuanya. 
Ingatlah, waimah mertua sekalipun tarafnya sama seperti ayah mak kandung kita.

Semoga Allah memberkati roh ke atas Almarhum Idrus Bin Husin dan Almarhumah Juriah Bt Mad.


No comments:

Post a Comment