Tuesday 21 February 2017

Kesedihan Bertandang Lagi

Kesedihan itu datang kembali pada tarikh yang sama. Tahun lepas 13 Febuari, ayah mertua meninggalkan kami buat selamanya. Tahun ni, berkongsi tarikh yang sama sahabat baik saya dikhabarkan koma selepas pembedahan.

Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar...
Airmata bagaikan tiada benteng untuk menahan rasa sedih ini. Berharapkan agar beliau kembali sihat. Insan yang sangat dekat dengan famili kami, insan yang berhati mulia.

Saban hari, kami menunggu perkhabaran. Hari demi hari teringin melawatnya tetapi dek kerana suhu kepanasan yang agak terik, saya diserang semput berkali-kali. Allah je tahu betapa hati ini ingin sekali melihatnya di HKL.

Jumaat jam 2 petang, suami telefon memberitahu bahawa doktor ingin mencabut bantuan pernafasan beliau kerana beliau disahkan mati otak. Bagaikan gugur jantung saya. Sambil mempersiapkan tempahan, airmata ini seringkali gugur.

Ya Allah, aku akan kehilangan seorang sahabat yang paling memahami, menolong tatkala kami susah dan senang.

Rupanya pihak keluarga mereka berkeras, tak mahu dicabut bantuan itu dan mereka mohon tempoh 48 jam lagi. Dan sabtu lalu, mereka mohon HKL mengizinkan mereka membawa beliau pulang.

Perancangan awal, kami ingin melawat hari Ahad. Kami dah bersiap dan hendak mengunci pintu, suami menghubungi suami kepada beliau untuk bertanyakan lokasi rumah. Kami diberitahu bahawa beliau baru 5 minit menghembuskan nafas terakhir.

Mengigil kami mendengar perkhabaran itu. Mujurlah perjalanan kami mudah dan parking kereta juga terus dapat. Janji Allah untuk mempertemukan kami di akhir perjalanan hidupnya di dunia.

Memasuki pintu surau, saya melihat ramai orang. Saya dapat melihat beliau dari sudut pintu kaca. Menunggu sehingga bacaan doa dan yasin dari orang ramai. Seusai selesai, saya bingkas bangun untuk melihat wajah beliau. 

Ya Allah, sesungguhnya ianya benar. Itu jenazahnya, itu adalah dia. Bagaikan tsunami, airmata saya dan suami berderai-derai keluar tanpa hiraukan semua tetamu. Kami seperti hilang kata-kata, hanya airmata sahaja.

Saya duduk di satu sudut. Melihat orang ramai datang dan melihat jenazah, setiap kali kain muka dibuka airmata sekali lagi gugur.
Terbayang kenangan kami bersama, berniaga bersama di tapak perkhemahan. Saling membantu satu sama lain. Sering berborak panjang sehingga leka.

Awalnya Allah menjemputmu. 
Buat pertama kali saya melihat jenazah dimandikan dan dikafankan. Hidupmu, kita tak pernah berpeluk. Untuk terakhir ini, saya menciumnya. Hati ini terlalu sebak.

Hujan mulai turun saat jenazah disembahyangkan. Suami bertanya, "sudah mahu pulang?"
Saya cakap, saya ingin bersama hingga ke akhir urusan dia. Apalah sangat berkorban mengiringi beliau sehingga persemadian dia yang terakhir, jasa baktinya sangat banyak dan tak terbalas dek kita.

Jenazah diusung oleh para sahabat seperjuangan dan diiringi orang ramai. Melintasi jalan yang sesak dan dalam keadaan hujan renyai, seolah memahami akan kepergian insan terpilih.
Rata-rata sedara mara dan jiran tetangga menyatakan arwah seorang yang sangat baik.

Anak-anak arwah ada 2 orang dan masih kecil. Merengek dekat ayahnya yang masih banyak urusan. Saya dekatnya dan mengajaknya ke kedai. Digenggamnya tangan saya erat-erat, terasa kasih sayang ibunya ketika itu. 

Walaupun dah 2 hari berlalu, setiap kali teringatkan dia airmata akan mengalir pilu. 
Semoga Allah mengampuni dosa-dosamu dan mengangkat amal kebaikkanmu duhai sahabatku Almahumah Nor Azura Mat Afandi. Semoga kau diletakkan di kalangan para solehah. Semoga anak-anakmu menjadi anak soleh dan solehah.


Maziana Zainal

No comments:

Post a Comment