Tuesday 17 January 2017

Pengorbanan

Pengorbanan
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Rutin setiap Selasa, Khamis dan Sabtu kami adalah menemani suami di Pusat Dialisis. Biasanya, kalau cuti sekolah kami akan menemani dari awal hingga habis. Tetapi bila waktu persekolahan, saya dan anak-anak akan pergi selepas Zohor.

Alhamdulillah, mujur kakitangan di sini baik-baik belaka. Ruang menunggu ada dan anak-anak boleh menunggu bersama. Sesetengah tempat, memang tak boleh.

Saya sengaja membawa anak-anak supaya mereka melihat pengorbanan ayahnya. Saat awal dicucuk jarum, bagaimana ayahnya menahan kesakitan. Selain anak-anak, saya mahu ayahnya tahu bahawa kami sentiasa ada untuknya.

Teringat seawal dikhabarkan dia menginap kerosakkan buah pinggang, dunianya seakan gelap. Seolah menerima hukuman gantung. Kerana memikirkan kos yang tak mampu ditanggungnya, dia pernah mengambil keputusan untuk tidak membuat rawatan cuci darah.
Doktor menasihatinya kebarangkalian apa akan berlaku. Saya merayu padanya, supaya memikirkan anak-anak dan ayahnya yang terlantar di rumah. Alhamdulillah, akhirnya dia akur.

Jenuh mencari dana bantuan untuk membantu menanggung kos dialisis yang agak mahal. Dalam masa yang sama, kami mencari pusat dialisis yang murah. Atas nasihat sahabat-sahabat, saya membuat satu status dimukabuka (facebook) untuk meminta bantuan. Alhamdulillah, dengan wang sumbangan itu dapatlah suami melanjutkan rawatannya. Hampir 5 bulan kami mencari dana bantuan lain sehinggalah Perkeso meluluskannya.

Kini masuk tahun ke 5 suami menjalani rutin dialisis. Alhamdulillah, dia juga masih mampu bekerja. Cuma gajinya dipotong hampir seribu dan sering dimomok untuk diberhentikan. Bukan suami sahaja, malah pesakit lain juga begitu. Nasib insan yang sakit seperti mereka.
Ingat moto tahun 2017 saya, kita percaya pada rezeki Allah.

Inilah cinta hati saya. Kesan cucuk yang hanya selang sehari, lengannya kini berbukit-bukit. Bukan dia sahaja, kebanyakkan semua pesakit ada. Bila berbukit, orang akan tanya " Encik dialisis ke?".

Bahagian lengan itu akan dicucuk 2 jarum, besar tau jarum dia. Saya pun ngeri melihatnya. Hati ini bagaikan dirabak-rabak tatkala melihat mimik muka suami menahan sakit.
Kita ni jarum halus pun terjerit-jerit, ini kan yang besar.

Darah akan keluar masuk melalui mesin dialisis. Mesin cuci darah, menyedut darah badan serta cecair dalam untuk dibersihkan. Kemudian dimasuk kembali ke dalam badan. 
Proses ini boleh menyebabkan mereka penat, lapar dan kurang gula. Sebab itu setiap kali dialisis, mereka akan bawa makanan dan minuman. Pihak dialisis akan menyediakan glukos dan gula-gula, bimbang pesakit akan hypo (kekurangan gula dan boleh pengsan).

Proses ini memakan masa 4 jam. Memang pesakit akan tertidur lena. Cuma suami, dia selalu kekejangan. Sebab itu saya diperlukan di sisinya.

Selepas dialisis, biasanya suami akan terus pergi makan. Lapar sangat katanya. Selesai makan, kena tidur. Fikirannya agak celaru ketika ini.

Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur Allah masih panjangkan usianya. Bersama saya dan anak-anak. Alhamdulillah.

Adakah dia berubah sikap? Kita nantikan episod seterusnya. Tunggu ye, tak seronoklah nak cerita semuanya di sini. Kita sambung nanti teruskan mengikuti saya di sini www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Sayangku suamiku, biar aku jadi penunggumu hingga ke akhir hayatmu. Terima kasih atas pengorbananmu.


Maziana Zainal

No comments:

Post a Comment