Monday 5 June 2017

Balik Kampung

Balik Kampung
puanmazianazainal@gmail.com


Alhamdulillah, gembiranya dapat balik kampung berpuasa bersama keramat hidup Kak Maz. Setelah sekian lama tidak berpuasa, berbuka, bersahur dan berterawih bersama mereka. Terpancar sinar di wajah mereka.

Benarlah kata Allah; bila kita mengembirakan hati orang tua kita, ganjaran dari Allah akan menyusul bersamanya. Dalam bercuti, rezeki Kak Maz masuk. Tempahan karipap sejukbeku bertambah, begitu juga temosa sejukbeku.

Yang paling membahagiakan Kak Maz bilamana para pelanggan sanggup menunggu sehingga Kak Maz pulang ke Ampang.

Sepanjang bercuti, Kak Maz memang guna sepenuhnya peluang yang ada. Kebetulan keluarga adik-adik dan abang-abang pun balik, seronok tau. Riuhnya rumah ayah sehingga lewat malam. Saat yang dirindui beberapa tahun lalu.

Lepas terawih, anak-anak buah yang kecil comel berlari-lari ke pagar menanti kami pulang.
" Andak! Cepatlah. Jom kita main mercun pop pop." Haha, itu yang mereka nantikan. Berebut-rebut nak bermain. Semuanya 10 orang. Satu taman perumahan ayah bergema dengan teriakkan mereka.
"Andak! Dah habis. Nak lagi. Nak lagi."

Hampir seminggu Kak Maz bercuti di sana tetapi tanpa suami, itulah pengorbanan yang perlu kami lakukan. Mujur anak-anak tak merengek rindukan ayahnya, hanya sekadar bertanya bila ayah akan balik.

Hari ini Kak Maz nak balik Ampang. Wajah mak ayah mulai suram walaupun masih ada anak dan cucu lain yang tinggal. Belum lagi bergerak pulang, soalan ini dah diutarakan oleh mereka "Bila lagi nak balik?". Inilah soalan keramat yang tak mampu Kak Maz jawab, sekadar In shaa Allah dan senyuman.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perjalana pulang mengambil masa 3 hingga 4 jam. Dalam keadaan yang sedang berpuasa dan cuaca yang terik, cukup hebat untuk Kak Maz tempuhi. Berhenti seketika untuk lena walaupun selelap keran pandangan mulai melayang-layang.

Alhamdulillah, akhirnya kami selamat tiba. 
Setiba di Ampang, Kak Maz terus membeli bahan-bahan untuk membuat karipap dan temosa. Tak sangka Kak Maz dari tempahan sebanyak 20 bekas, kini mencecah 50 bekas. Sadolah tangan Kak Maz.

Tanpa rehat yang panjang, Kak Maz terus menyediakan bahan untuk membuat inti. 
Seusai selesai, Kak Maz dan suami keluar ke bazar untuk membeli lauk untuk berbuka. Suami sangat memahami. Dia tahu Kak Maz penat memandu dan kini nak memenuhi tempahan pelanggan. Ya Allah, nikmatMU yang terindah. Alhamdulillah.




Maziana Zainal
Bisnes Sejukbeku (Frozen Food)


Thursday 1 June 2017

Suamiku

Suamiku
puanmazianazainal@gmail.com

Perjalanan hidup suamiku berubah sejak 5 tahun lalu. Bukan sahaja rutin harian malah sikapnya juga berubah.

Awalnya amat sukar untuk difahami tetapi dengan pertolongan Allah, alhamdulillah. Rata-rata pesakit yang menghidap penyakit kronik, sikapnya berubah secara total. Kalau tak kuat dan tak tahan, mahu sahaja berlaku perceraian. Dan kebanyakkan kajian, ramai pasangan bercerai. Mujur telah aku ketahui seawal dia disahkan sakit. Berkongsi rasa dan perasaan dengan waris pesakit.

Saban hari suami berkorban untuk merawat sakitnya demi meneruskan hidup bersama kami. Selang sehari, lengannya akan dicucuk 2 batang jarum yang besar. Selama 4 jam duduk menjalani proses mencuci darah. Darah yang dipenuhi toksin yang berbahaya. Setiap hari kena mengawal kuantiti air, bimbang ia memenuhi paru-parunya. Bila ini berlaku, badan dia akan kebiruan dan perlu dengan kadar segera ke hospital. Bahagian dada belakang akan ditebuk untuk mengeluarkan air. Kebiasaan mereka akan dimasukkan ke icu.
Mujur suamiku belum sampai ke tahap itu. Alhamdulillah.

Ujian Ramadhan buatnya.
Tahun pertama dia berpuasa sebagai pesakit amatlah mencabar. Namun dibulatkan nekad untuk menunaikannya. Aku menyokongnya walaupun aku amat takut sesuatu berlaku.
Selepas dialisis, dia mengajakku ke bazar Ramadhan. Aku turuti kerana aku tahu seleranya mungkin berbeda. Sewaktu jalan-jalan, dia merangkul lenganku dengan kuat. Aku lihat tubuhnya lemah. " Abang, kenapa ni?". Sambil tundukkan kepala dan bersandar pada tubuhku, dia berkata " Sayang, abang rasa gelap mata." Allahuakbar, mahu sahaja aku menjerit memohon bantuan tetapi dihalang olehnya.

" Sayang, pimpin abang ke kereta. Abang tak nampak jalan." Aku jadi cemas dan airmata bertahan dari melimpah. Dalam hati berbisik; Ya Allah, bantulah aku. Kudratku pada zahirnya memang tidak mampu membimbing suamiku, aku bertubuh kecil dan suami berbadan besar. Mungkin dia dapat merasa resah dihati ini, dia berkata " Sayang, jangan risau. Abang ok cuma mungkin lepas cuci darah tadi, air habis disedut mesin. Kita jalan perlahan ye."

" Abang, bukalah. Saya bimbang abang pengsan, saya mengelabah nanti".
" Takpe sayang, sikit je lagi dah nak berbuka. Sayanglah."

Selama seminggu berlaku dan atas nasihat jururawat di pusat dialisis, suami tak disarankan berpuasa pada hari cuci darah. Akhirnya dia akur.
Tetapi setelah diasuhnya sedikit demi sedikit, dia dapat tempuhinya dengan baik.

Tahun ini adalah tahun ke 5 suamiku berpuasa dalam status pesakit buah pinggang. Alhamdulillah, dia mampu bertahan. Walaupun begitu, aku tetap memantau kerana bimbang tiba-tiba dia pengsan kerana kurang gula dalam darah. Tahun lepas dia disahkan ada diabetes.

Berubah sikap, baran tanpa disedari.
Kalau orang tak tahu, disangkanya kami sedang bergaduh atau aku sedang dimarahi suami.
Suamiku ada masanya kurang mendengar. Bukan setakat suara orang berbual dengannya, malah suara dia sendiri dia kurang mendengar. Sebab itu ada masa dia berbual denganku menggunakan nada yang tinggi, orang sekeliling memerhati dan bersangka kami sedang bergaduh.

Bila moodku baik, aku akan tukar balas bualan suami kepada lawak. Tetapi ada saat badan dan minda penat. Aku akan bagi signal untuk beredar dari situ bilamana kumelihat sekeliling sedang memerhati.

Aku harus menjaga maruah suamiku walaupun orang lihat maruahku yang dicarik.
Mereka terus menghukum tanpa melihat keseluruhan. Cuma ada sesetengah manusia akan bertanya tatkala melihat kesan bengkak dan parut dilengan suamiku,
" Abang/adik sakit buah pinggang ke? Buat dialisis?. Sabarlah, ujian Allah."
Terus suamiku menggangguk dan tersenyum. Dan mereka juga tersenyum tanda faham.

Aku disapa juga dengan kata-kata, " Kita kena banyak bersabar". Mungkin dia juga mempunyai waris yang berpenyakit sebegitu.

Aku bertuah kerana suamiku adalah insan yang senang diajak berbual. Tida mudah melenting tatkala aku menegur sikapnya.
Bayangkan dengan sakit sebegitu, anak-anak pula sangat agresif dan aktif. Memang kadangkala menaikkan darah. Dan alhamdulillah, anak-anak ada masanya sangat membantu.

Ya Allah, berkati dan rahmatilah kami sekeluarga. Berikan kami rezeki melimpah ruah tanpa putusnya. Jadikan rezeki kami dimana kami berada.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.


Abang,
Akan Ziana genggam janji Ziana pada Allah saat Ziana memohon agar abang dipanjangkan usia.
Akan Ziana tunaikan janji akan bersama abang hingga ke nafas terakhir kita
Akan Ziana pegang akur janji hati ini agar menerima dengan redha apa jua yang berlaku samada perubahan sikap dan kekurangan abang.

Moga Allah selalu bersama Ziana, abang dan anak-anak. Demi keluarga kita ini.


Maziana Zainal