Monday 9 January 2017

Kerja Oh Kerja

Kerja Oh Kerja
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com


Dugaan seusai habis belajar.
Bila dah biasa dalam bidang berniaga, minat saya mula cengderung ke arah subjek pengiraan. Saya suka Matematik, anda?
Seingat saya, masa tingkatan 3 dalam matapelajaran Kemahiran Hidup, kita ada belajar topik simpan kira-kira kan? Dan sejak itu hati mula jatuh cinta pandang pertama. Jatuh cinta dengan nombor-nombor jiwa. Kenapa saya gelar nombor jiwa? Biarlah rahsia (main rahsia pula lah saya ni). Sebab setiap kali buat assignmen akaun, hati saya jadi tak keruan terutama bila tak dapat kesamaan bila buat penutup akaun. Tetapi bila dapat selesaikannya, wah gembira bagaikan dapat lepaskan rindu pada buah hati. Ada kan yang macam saya?

Selepas SPM, saya sambung belajar ke IPTA dalam jurusan Perakaunan. Dari Diploma hingga ke Sarjana Muda. Tapi target saya untuk menjadi pendidik.
Ingat tak dulu, zaman 90an. Ramai graduan lepasan universiti menjadi guru. Dan saya inginkan begitu tetapi lain pula jadinya bila kerajaan menyekat laluan itu. Untuk menjadi guru, harus ada lulusan akademik perguruan. Hampanya rasa hati. Untuk jadi pensyarah, harus ada Master.
Orang tua minta saya sambung sampai Master, tetapi mengenangkan adik-adik saya masih belajar dan memerlukan wang maka saya mula mencari kerja.

Kerjaya bermula di sini.

Bermulanya kerjaya saya apabila ditawarkan Guru Sandaran di Kolej Profesional Mara, menggantikan guru cuti bersalin. Berdebar berhadapan pelajar-pelajar yang hampir sama besar dengan saya (saya ni renek je). Macam tak percaya, jawatan itu setanding pensyarah kerana mengajar pelajara jurusan Diploma Perakaunan.

Saya perlengkapkan diri dengan ilmu sebelum mengajar supaya tak dikenakan oleh pelajar. Pernah suatu malam, saya tidur lewat dan mentelaah hampir 5 buah buku subjek Costing. Cubaan pertama, saya gagal memahamkan topik itu pada pelajar. Memang terasa bahang malu. Mujur sewaktu itu, saya dibantu oleh kawan seperjuangan.
Saya cuba mengajar depan cermin, cuba perjelaskan topik itu. Ya Allah, subjek ini senang. Mengapa dulu saya tak tahu dan tak cuba memahaminya. Menangis saya waktu itu.

Dek kerana tak mahu pelajar-pelajar ini rugi seperti saya. Saya ikhtiar semampu boleh. Saya kreatifkan cara untuk memahami dan barulah memahirkan mereka. Pencapaian yang terbaik saya perolehi adalah pelukkan dan tangisan seorang pelajar ulangan. Setelah peperiksaan bulanan, dia meluru kepada saya dan memeluk saya. " Miss, Terima kasih kerana mengajar saya. Saya tak pernah dapat 100 markah". Dan saat itu, pelajar mula rapat dan sering bertemu di bilik untuk belajar.

Dah namanya sandaran, ia hanya untuk sementara sahaja. Saya kembali kepada rutin harian, berniaga bersama family. 
Beberapa bulan kemudian, saya dapat tawaran Pembantu Tadbir di sebuah syarikat di Shah Alam. Kali ini, ia diluar bidang saya. Termenung seketika. Saya belajar sedikit demi sedikit bersama staf yang bakal saya gantikan kerana dia akan bersalin. Alhamdulillah dek kerana darah muda dan masih fresh, ia mudah saya pelajari.

Menyediakan dokumen untuk para peserta kursus, menghantar fax serta membuat follow up kepada syarikat-syarikat yang terlibat. Syarikat ini menawarkan kursus untuk para enginer. Bos saya orang Holland, peh berapi saya nak bercakap orang putih.
Kami biasa akan mengadakan kursus di hotel-hotel, saya belajar cara menempah bilik seminar, menempah menu makanan serta menguruskan bilik seminar.

Kejayaan yang saya perolehi di sini, sebulan sebelum saya berhenti, peserta kursus mencecah tinggi dari kebiasaan. Dan kursus itu berjaya. Alhamdulillah.
Saya diminta sambung berkidmat dengan berkontrak sebulan. Tetapi, waktu yang sama saya dapat panggilan dari adik, minta saya pulang kerana mak selalu sakit.

Saya pulang dengan harapan dapat menjaga mak dan bekerja di daerah itu. Situasi ekonomi yang tak berapa baik waktu itu, saya menerima apa sahaja kerja. Dengan ijazah yang saya ada, saya hanya layak jawatan kerani dengan gaji rm650. Nampak tak betapa teruk ekonomi saat itu. Saya menjadi kerani akaun kerana saya fresh graduate katanya, tak de pengalaman.

Saya menguruskan akaun sebuah bistro. Ia dari zero akaun. Dengan sistem perakaunan yang tak pernah saya belajar. Sehingga satu saat, saya dimarah pengurus kerana tak tahu buat kerja. Saya belajar dari kesilapan. Tiba saat buntu yang melampau, saya dengan rendah diri mohon tunjuk ajar dari pengurus tentang sistem. 
Seorang pengurus ada egonya, tapi pengurus yang baik, dia belajar dari kesilapan juga. Akhirnya dia mengaku, dia tak pandai menggunakan sistem yang diberikan pada saya (kelakar kan, tak habis fikir saya ketika ini).
Sebelum kita memarahi seseorang, belajarlah memahami permasalahan itu. Tapi itu asbab sahaja, akhirnya saya dan pengurus saling bantu membantu untuk mahir dengan sistem tersebut. Dan sering bersama, macam kawan rapat.

Paling tak tahan bila mana bos besar masuk pejabat dan memarahi saya, katanya saya tak buat kerja. Bistro tak untung, mana akaun kamu? Ya Allah, ini dugaan bagi saya. Duit keluar masuk, semua saya dah rekod dan memang rugi. Tapi rugi bukan sebab akaun.

Mujur Allah bantu saya, satu kejadian berlaku di mana wang yang sepatutnya masuk ke dalam bistro telah disalahguna oleh bos sendiri. Kali ni, saya dapat bukti. Bila mana auditor datang nak memarahi saya tentang kerja saya yang tak menampakkan hasil keuntungan pada bistro, saya bangkit dengan bukti. Terdiam auditor yang tadinya bagaikan bapa singa nak telan anak kucing.

Saya cuba mendapatkan pekerjaan lain, saya tak mahu senang-senang diperbodohkan. Dan alhamdulillah saya dapat tawaran lain.
Kali ini saya ditawar menjaga stok sebuah stokis. Beberapa bulan selepas itu, saya kena menguruskan keseluruhan stokis kerana pekerja berhenti. Dari menjaga stok keluar masuk, saya juga menguruskan wang stokis dan agen-agen serta pelanggan yang datang. Memberikan penerangan tentang produk, tentang pelan pemasaran serta keseluruhan perihal stokis. Bos menyerahkan kepercayaan sepenuhnya serta mencari dan mengajar pekerja baru.
Mahu lupa diri tau, dah macam bos gitu.

Pengalaman paling saya takut, bawa duit puluhan ribu ke bank. Mengigil satu badan sebab takut kena rompak, tak mampu saya nak membayarnya.

Episod kerja ini berakhir di stokis juga, di mana saya terpaksa berhenti kerana tahap kesihatan tak mengizinkan selepas saya melahirkan anak kembar. Hampir 3 bulan dipantau oleh hospital.

Selepas sihat, saya diamanahkan untuk menjaga ayah mertua. 
Setelah hampir 10 tahun menjaga arwah ayah, dengan usia hampir mencecah 40an mana ada majikan mahu tawarkan pekerjaan.

Semua pengalaman itu saya simpan untuk saya membina kerjaya saya di sudut yang berbeza. Pengalaman itu ilmu, dan ilmu itu anugerah Allah.




No comments:

Post a Comment