Tuesday 26 March 2019

Genap Setahun




Bukan niatku untuk menagih simpati tetapi sekadar berkongsi rasa dan ceritera hidup. Tidak semua orang punya sahabat baik yang mampu memberikan kita bahu untuk bersama rasai jiwamu.

Aku lakarkan coretan coretan rinduku agar suatu masa anak anakku membacanya. Kalau dulu arwah sering membaca blog dan melemparkan senyum serta memelukku. Kini tiada lagi.

Arwah sering menyokongku. Teruskan yea sayang walaupun abang dah tiada lagi. Arwah tahu, sejak aku dinikahinya aku tiada kawan yang benar benar mampu untuk aku bersandar selainnya. Sebab itulah dia mengamanahkan adik dan suaminya menjadi pendengar setiaku suatu masa nanti, disaat dia telah tiada lagi.

Hari ni genap setahun arwah pergi meninggalkan aku dan anak anak. Hari ini masih segar dalam ingatan. Saat ini arwah sedang nazak. Dan saat ni aku mengenal sahabat sebenar yang menyayanginya. Sanak saudara yang menyayanginya.

Detik waktu menunggu waktu. Allahu.
Aku takut sebenarnya tapi aku tak mampu menzahirkannya. Yang aku perlu tahu, aku perlu melepaskannya dengan tenang.

Ya Allah, andai diulangi waktu itu aku ingin memeluknya sepuas hatiku. Aku ingin menciumnya lama lama. Tapi aku perlu akur akan takdirMU.

45 hari kami terpisah tidur sebelum KAU pisahkan kami buat selamanya. 45 hari aku mengenal manusia yang jujur dan tak amanah dalam kerjayanya sebagai Pegawai Perubatan.

Allah. Allah. Allah.
Pergimu dengan senyuman, menenangkan aku dan anak anak.
Pergimu dengan hujan renyai, menyejukkan perjalanan akhirmu.
Pergimu dengan kasih sayang Allah, disambut dipeluk lembut oleh insan yang menyayangi
dan menempatkanmu dipersemadian terakhirmu.

Perjalananmu sungguh cepat, tiada sebarang kemudaratan.

Ya Allah, izinkan kami bertemu kembali dan bersatu kembali dipertemuanMU nanti dan terus ke Syurga FirdausiMU. Izinkan ibadah kami, taubat kami, amal jariah kami serta sedekah kami menjadi asbab dosa dosa kami terhapus.


Thursday 21 March 2019

Kau Takkan Pernah Terganti

Saban hari merindumu.
Saban hari mendoakanmu.
Takkan pernah terganti.
Takkan pernah sama.

Kau anugerah terindah untuk selamanya.
DariNYA ku terima.
KepadaNYA kau ku serahkan.
Masih segar saat memori saat kau pergi buat selamanya.

Anak anak ni akan ku didik walaupun sukar dan tak kan pernah sama seperti kau ada.
Damailah disisi Penciptamu.




Kelmarin kau masih terasa ada disisi. Bergurau. Bermanja.
Kelmarin masih terasa menjagamu diwad selama 45 hari.
Kelmarin masih terasa menjalankan tanggungjawab sebagai tulang rusukmu.
Kelmarin masih melihat jenazahmu tersenyum indah bagaikan sedang tidur dan lena yang bermimpi indah.
Berseri wajahmu. Tenang airmuka mu.






Wednesday 20 March 2019

Kursus Bersama MARA

Get Your Business Online

Program anjuran MARA bagi membantu usahawan usahawan seperti Kak Maz untuk mempelajari selok belok perniagaan secara dalam talian.

Kursus ni sangat bagus. Kak Maz dan sahabat usahawan belajar cara untuk bina website, dalam erti kata lain laman web.

Kalau dulu Kak Maz belajar bina Blog bersama Puan Masayu Ahmad.
Kali ni Instaweb bersama Tuan Saiful Nizam Md Masror, FB Ads pula bersama En Asrul Ezrulhisham dan Google Ads bersama Tuan Firdaus Ariff.

Sebelum ni Kak Maz hanya belajar secara online dan buku buku serta ebook sahaja. Kali ni secara praktikal, maka mudahlah nak faham kan.

Cara betul membina copywritting yang betul dan beremosi bagi mempengaruhi pembaca. Mengenali serba sedikit jenis manusia dengan kaedah NLP yakni Visual, Kinestatik dan Auditori.

Bina website yang lengkap dengan segala aspek yang wajib usahawan laksanakan.
Dengan instaweb, ia memudahkan kami menyampaikan maklumat kepada pembaca. Dan tak langsung merekod transaksi serta data pembeli.

Ketiganya juga mengajar sudut pengiklanan yang pelbagai cara dan kaedah. Berbayar lah.
Kalau kedekut, susahlah kan tetapi mengikut budget kita. Jangan sampai tak tidur malam pula yea semata mata nak cari modal. Guna modal yang ada.

Ramai sifu ajar, elakkan berhutang. Ingat.
Tapi Kak Maz dulu buat juga loan. Duit tu untuk berniaga dan bantu arwah suami. 
Alamak, tetiba merindu. Ok. Ok. Maaf, kita sambung cerita atas tadi.

Bila dah sertai kursus MARA, secara tidak langsung Kak Maz kini dilabelkan Usahawan MARA.
Untung tau, pelbagai kursus MARA sediakan untuk usahawan usahawan. Dan sekarang dipantau selama 3 bulan atas usaha kita, progres kita selepas sertai kursus mereka.

Kursus ni dibuat selama 3 hari 2 malam di Hotel Rocana, Kuantan. Dekat dengan rumah, Kak Maz ulang alik je. Masa rehat 2 jam, balik ke rumah untuk rehat dan makan. Kebetulan anak anak dan mak tak sihat.
Kak Maz memang dari bersama arwah, kalau pergi berguru memang Kak Maz tak sertai mereka makan tengahari. Kak Maz akan memikirkan apa mereka makan di rumah, sedangkan Kak Maz makan di hotel. Hati tisu agaknya. Hahaha. Malu pun ada. Opss.

Ujian itu adalah petanda Allah nak beri kita lebih, in shaa Allah. Yakinlah. Redha dengan apa Allah hadirkan sama ada baik atau buruk. Bersangka baik.

Ukhwah terjalin antara sahabat, alhamdulillah. Masih berhubung kerana mereka tubuhkan kumpulan wasap. Pelbagai jenis perniagaan, pelbagai karaktor, pelbagai inspirasi.
Saling melengkapi.

Mungkin pandangan Kak Maz kot sebab Kak Maz jenis suka memerhati karaktor. Mesti korang ingat Kak Maz belajar ilmu NLP. Oh tidak.
Cuma kat U dulu Kak Maz ambil KO-Subjek, kaunseling. A+ okey. Opss, bukan riak tapi bagi tahu je. Hahaha.

Okeylah dah menjelang malam, besok dah ada tugas rutin menunggu. Ni pun dah sakit bahu.

Selamat malam sahabat yang sudi singgah dan membaca. Moga kalian dirahmati Allah Taala dan sihat sokmo.

Assalamualaikum.
Jangan lupa doakan Kak Maz dan anak anak yatim Kak Maz yea. Terima kasih.













Sunday 17 March 2019

Ujian

Temosa Ditangguh Lagi

Sekian kalinya permintaan untuk temosa terpaksa ditangguhkan lagi desebabkan faktor kesihatan.
Bukan kesihatan Kak Maz tetapi bonda dan ayahanda tidak mengizinkan.

Iyea dulu masa di Ampang memang Kak Maz mampu buat seorang diri tetapi kini tidak boleh. Bukan sebab tak mampu.
Ini kerana tak mahu bonda dan ayahanda turut bersama. Mereka memang tak boleh tengok Kak Maz buat sendirian.
Tersepit akak.

Alkisahnya bermula 3 minggu lepas. Kak Maz dapat tempahan dari Kuala Lumpur sehingga mencecah 80 bekas. Dalam proses membuat tempahan, tiba-tiba bonda mengadu urat kepala tegang dan mata kabur. Apabila ayah memeriksa tekanan darah mak, Ya Allah tekanan mencecah 197/111. Allahuakbar.

Kak Maz call anak buah yang doktor bertanyakan akan risikonya, sekali lagi terkejut kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung atau strok. Ya Allah, tak sanggup rasanya untuk melihat keadaan itu jika berlaku.

Kak Maz pujuk untuk ke Klinik As Salam. Alhamdulillah bonda setuju. Sebelum tu bonda tak mahu dan katanya selepas minum air rendaman buah mahkota dewa, in shaa Allah okey macam selalu katanya. 5 minit berlalu, masih tiada tanda mahu turun.

Sebelum ke klinik, Kak Maz minta bonda minum air kelapa dahulu untuk tawaskan ubat. Mujur rumah ada pokok kelapa, jadi ayahanda petik dipokok.

Episod Di Klinik
Mesti korang tertanya kenapa tekanan darah sebegitu, masih nak ke klinik dan kenapa tak terus ke hospital. Haa kan. Kalaulah Kak Maz kata nak bawa ke hospital, tekanan darah bonda akan naik mendadak. Bonda cukup takut dengar nama hospital. Di sinilah minda psikologi kena aktif. Kak Maz pilih klinik yang ada perkhidmatan ambulans.

Sampai di klinik, "Puan, doktor sampai dalam pukul 8 malam. Puan nak tunggu ke?"
Kak Maz fikir punya fikir punya fikir dan bonda cakap kita tunggu, Kak Maz setuju tetapi Kak Maz minta dia buat pemeriksaan tekanan darah. Mereka setuju.

Pemeriksaan dibuat. Mereka terkejut sebab ia masih tinggi. Kak Maz tahu, mesti mereka call doktor untuk bertanya pendapat. Doktor minta buatkan ECG dan bagi makan ubat. Bonda menolak untuk makan sebab tadinya dah makan herba.

Menunggulah kami sehingga doktor datang dan Kak Maz mohon buat sekali lagi pemeriksaan tekanan darah. Bonda kita merasakan dadanya mencucuk cucuk. Mereka maklumkan kepada doktor.

Sesampai sahaja doktor, terus dipanggilnya kami masuk. Terkejut kami doktor merayu pada bonda untyk makan ubat atau dipanggilnya ambulans.
Kak Maz yakinkan bonda bahawa herba tadi dah tawas dek air kelapa. Sudah jenuh Kak Maz call doktor doktor yang Kak Maz kenal, rata rata mohon bonda makan ubat sebab bimbang serangan jantung dan strok. Akhirnya bonda akur. Alhamdulillah.

Bonda direhatkab dibilik pemerhatian seketika. Diperiksa beberapa minit keadaannya. Dari ujian ECG, doktor menyatakan bahawa sebelah jantung bonda bengkak dan bonda tidak boleh mengelak dari makan ubat darah tinggi untuk mengelak jantung bekerja keras. Is boleh menyebabkan organ lain akan rosak.

Iyea, macam arwah suami Kak Maz. Ada tekanan darah tinggi dan mengelak makan ubat, kononnya takut sakit buah pinggang. Tetapi dengan mengelak itu, ia lagi mempercepatkan organ itu rosak. Tekanan yang selalu mencecah 200 lebih. Allahurabbi. Tidak untuk bonda.

Sementara ayahanda menunggu bonda, tekanan ayah mencecah 154/100. Kak Maz terbayang bagaimana kalau keduannya harus ke hospital dan ditahan wad. Tetapi alhamdulillah tidak. Meneruskan dengan ujian darah pula. Keputusan lagi 3 ke 4 hari.

Sambil menunggu ubat, Kak Maz membaca senarai nama doktor yang bertugas dan doktor tadi adalah doktor pakar. Memang sangat ramah tamah. Diceritakan tentang pengambilan herba tanpa kajian, jangan diamalkan.

Selesai, kami pun pulang. Rupanya hampir 4 jam kami disitu.

Keputusan Darah Keluar
Alhamdulillah, bonda dan ayahanda dipuji oleh doktor kerana keputusan yang sangat cantik diusia 70an. Bonda sahaja kolestrol yang tinggi dan harus mengambil ubat kolestrol.

Kini, tekanan darah bonda dna ayahanda semakin baik. Walaupun begitu, Kak Maz masih tak berhajat untuk memerima tempahan. Memang tidak dinafikan permintaan sangat tinggi tetapi Kak Maz tak sanggup melihat 2 keramat hidup Kak Maz sakit.

Dan saat ini Kak Maz tahu mengapa Allah meletakkan Kak Maz di sini dan memgambil cinta hati Kak Maz. Kak Maz mengajar anak anak agar belajar bersabar dan tabah menjalani hidup ni. Kak Maz ajar hidup dalam realiti sebagai arwah ayahnya mendidik Kak Maz. Alhamdulillah.

Wednesday 13 March 2019

Berehat Sebentar

Pepagian menghantar anak anak ke sekolah dengan sejook aircond, peh mengantok dibuatnya.
Duduk di Kuantan, sibuknya bagaikan di KL dah.

Berdezoom sdezoom kete silih berganti, belom lagi berbaris panjang menanti sang merah bertukor hijo.
Untung bagi yang bergerak awal, nyaman je suasana subuh. Walaupun awal, masing masing pecut memecut juga.
Keselamatan harus diutamakan.

Destinasi pertama, sekolah si kembar abang.
Hari anak anak ibu segak beruniform kadet polis. Katanya, kalau awal cikgu akan minta mereka berbaris menyambut pelajar dan guru yang lain. Seronok mereka.

Tahun ni, alhmdulillah tiada lagi rungutan atau ketakutan menghadapi persekolahan. Memang nampak airmuka mereka gembira. Setiap kali dijemput pulang, masing masing berebut nak bercerita itu dan ini.

Destinasi kedua, sekolah si bongsu.
Allahurabbi, tahun ni adik mengalami gejala stress headache macam abang kembarnya. Rasa macam nak meraung hati siibu. Apa harus dilakukan oleh ibu?

Wahai anak, kalau kau selami hati ibu ni pasti kamu menangis. Ibu terselit antara anak anak dan orang tua (yakni opah aki korang). Keduanya pintu ibu ke syurga, kamu juga pintu pintu ibu ke syurga. Terkadang ibu terasa bahang pintu neraka bila memarahi kamu dan bila mempertahankan kamu.

Mujurlah guru kelas kamu membantu ibu menyelesaikan masalah kamu sering diugut guru lain untuk mencatat dalam rekod pelajar bila pelajar tak hadir. Ibu tahu kamu tak hadir tanpa sebab. Kamu sering sakit kepala, yang ibu sangkakan biasa tetapi itu tanda awal kamu menghampiri tekanan.

Alhamdulillah. Semalam waktu menjemput kamu, terpancar muka bahagia. Dan pagi ini, kamu ke sekolah dengan gembira tanpa rungutan.


Rehat Sat.
Semasa menulis ni, ibu berhenti rehat tepi jalan seketika dan kebetulan perut pun berkeroncong.
Haa, singgah dulu beli sarapanlah kebetulan mata tahap gaban mengantok. At least dengan menapak ke gerai, badan sedikit segar. Segarlah sebab kena berjalan kan, duduk dalam kete tekan minyak je maka bertambahlah nak lenanya.


Macam macam ada ni.
Terpikat pada pulut dan rendang, terus menelan air liur hahhaaa. Untuk mak ayah, belikn kuih dan meehoon goreng. Mak dah kena jaga pemakanan disebabkan tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan jantung membengkak.
Allahurabbi. Ini agaknya sebab ibu kena ada di sini.



Sunday 10 March 2019

Produk Baru Kami

Ayam Muniff Hijjaz

Alhamdulillah. Diberikan tawaran untuk menjadi agen kepada Ayam Muniff Hijjaz. Wah! Best tau ayam ni. Yang penting bersih, penyembelihan mengikut syariah |slam, tak disuntik.



Apa itu Ayam Kampung Kacuk?
Ayam Kampung Kacuk adalah baka yang telah dikacukkan antara Ayam Kampung dan Ayam Daging. Fizikal dan keaktifannya menyerupai ayam kampung biasa. Saiznya lebih besar sedikit dari ayam kampung biasa dan dagingnya lembut serta sangat enak rasanya setelah dimasak.

Makanan Munif Hijjaz Better Whole Chicken~Ayam Kampung Kacuk.

1) Jagung
2) Beras hancur
3) Rumput dan tumbuhan2 ketika mereka bebas
4) Vitamin dicampurkan dalam air minuman
5) Effective microorganisms dicampurkan dalam air minuman
6) Baki2 sayur-sayuran dan buah-buahan seperti timbun, sawi , kangkung dan daun betik(mengikut availability of stock)
7) Minum air tanpa Klorin
8) Dedak

Makanan Munif Hijjaz Better Whole Chicken~ Ayam Daging Segar

1. Dedak

*Nota:*
✅ Tiada injection untuk semua
 ✅ Ladang/Reban dan pusat sembelihan kepunyaan Bumiputera Muslim.







Saturday 2 March 2019

Rindu Menyapa

Saat rindu itu menyapa, berlinangan airmata membasahi pipi.
Sesungguhnya rindu itu menyeksa jiwa. Melihat wajah anak anak, terbayang saat gembira bersama arwah.
Allahuakbar.

Bukan bereti tidak redha tetapi rindu. Terbaca kisah sahabat yang sedang diuji macam pernah Kak Maz lalui dahulu, makin terusik rasa rindu bersamanya. Saat arwah disahkan sakit. Saat kami diuji bantuan ditolak mentah mentah. Saat arwah menjalani pembedahan fistula dan seterusnya rawatan dialisis.

Perjalanan 6 tahun arwah sebagai pesakit buah pinggang. Sehingga satu saat dia mengadu dah tak sanggup. Sakit dicucuk, sakit dikhianati, sakit dibuli mental dan sakit dengan ekonomi sara hidup.

Allahurabbi. Kini arwah tenang di sisi Allah.

Gambar bersama arwah Kak Maz tatap berkali kali untuk mencari kekuatan untuk melepasi fasa kerinduan.
Tiada boleh menggantikanmu sayang.

Ya Allah, kurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran buatku dan anak anak mengharungi ujianMU ini dengan mudah dan lancar.

Aamiin

                                                 Gambar ketika raya 2017, sebelum ke rumah kakak Kak Maz.