Sunday 22 January 2017

Saat Ujian Itu Menerpa Diri

Saat Ujian Itu Menerpa Diri
Teks: Noormaziana Zainal Abidin
puanmazianazainal@gmail.com

www.mazianazainalabidin.blogspot.com

Siapa yang tidak pernah diuji Allah? Tiada satu makhluk Allah yang terlepas dari ujianNYA. Bezanya adalah bagaimana bentuk ujian itu? 
Miskin itu ujian.
Kaya itu ujian.
Sakit itu ujian.
Sihat itu ujian.
Hidup itu ujian.
Mati itu ujian.

Nampak tak? Tiada yang terlepas. Siapa kita untuk mempertikaikan ujian Allah terhadap kita?

Allah menguji kita kerana DIA ingin melihat bagaimana kita berjuang untuk bertahan dan berusaha. Allah juga ingin melihat bagaimana kita mensyukurirezeki-rezekiNYA. Allah menilai bagaimana kita memanfaatkan kelebihan yang ada kepada yang memerlukan.

Ujian itu hadir menyapa diri.
Saya juga hambaNYA yang tidak terlepas untuk diuji. Ujian yang paling hebat adalah di saat suami disahkan mengidap sakit buah pinggang kronik.

Ia bermula semasa suami di tahan di wad untuk rawatan lanjut. Malam pertama ditahan, suami sudah mula detik kemurungan. Dia tidak tahu bagaimana dan mengapa ia berlaku pada dirinya. 

Sebagai isteri, memang hati ini juga tersentap dan menangis mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Tapi haruskah saya menangis di hadapan dia? TIDAK!

Saya menjadi pendengar dan tempat dia melepas segala kemarahan, kekesalan dan keluhan. Masa sebegini, nasihat saya memang tak mampu melegakan dia. Kami tidak boleh tidur malam itu sehingga pagi. Mujurlah orang tua dan anak buah datang membantu menjaga anak-anak dirumah.

Keesokkan, doktor pakar datang bertemu suami. Saya dipanggil untuk mendengar penerangan doktor. Doktor menasihatkan agar suami di hemoedalisis segera. Suami menolak dan memohon pada doktor untuk berbincang dengan saya. Kami mengambil ruang masa seketika. Suami mohon langsir ditutup. Kata suami, " Abang tak nak buat dialisis kerana kosnya mahal sayang. Anak-anak memerlukan duit untuk bersekolah. Biarlah abang makan ubat sahaja dan mati." Allahuakbar, dalam hati bagaikan mahu meraung tatkala disuarakan oleh suami.

Saya mohon izin memanggil doktor tadi untuk bertanyakan akan risikonya.
"Puan, ia memang berisiko tinggi. Kemungkinan dia koma or meninggal lebih awal."

Saya memandang suami semula, " Abang, anak-anak dan saya masih memerlukan abang. Boleh tak abang tahan untuk tahan sakit bila dialisis, at least anak-anak dan saya masih boleh bercakap dengan abang. Saya tak sanggup jika abang koma, anak-anak akan tanya kenapa ayah asyik tidur. Kalau abang pergi setelah berjuang, saya tak ralat. Tetapi jika abang pergi sebab putus asa, seumur hidup saya akan ralat. Bab kos, kita ikhtiar bersama-sama."

Suami mohon anak buah (yang menjaga anak-anak dirumah) menangkap gambar ayahnya dan anak-anak untuk memberi semangat kepadanya. Anak buah saya bijak, dia muat turun video anak-anak bercakap dan berdoa untuk ayahnya. Berpelukkan kami menangis bersama.

Akhirnya dia akur untuk menjalani rawatan dialisis. Diawalnya, doktor menebuk dipangkal peha. Kata jururawat, inilah kali pertama saya tengok doktor melakukan dengan cukup lembut dan tersusun. Petang itu bermulalah rawatan dialisis pertama.

Bersama jururawat kami menolak katil ke ruang dialisis di tingkat 2. Semetara menunggu pemasangan alatan dialisis, saya diminta tunggu diluar. Tetiba dapat pesanan dari telefon suami minta saya masuk.

"Ya Allah sayang, sakitnya."
Melihat wajah kesakitan yang teramat sangat dari wajahnya, saya tahu memang ia amat sakit. Apa yang boleh saya buat, saya pegang tangannya sambil mohon dia sabar. Kali pertama hanya 2 jam. Derita umpama berjam-jam.
Selesai dialisis, dia merajuk dengan saya. " Sayang tak rasa, sakit sangat. Biarlah abang mati je sayang." Hati ini bagaikan diboom. Saya senyum je pada dia dan mohon ke bilik air untuk berwudhu.

Dalam bilik air saya menangis sepuashati. Ya Allah berikan aku kekuatan untuk terus tersenyum walaupun hati ini menangis. Saya cuci kesan-kesan airmata dan berwudhu. Saya solat berhampirannya dan ketika itu dia sedang tidur. Mujurlah masa itu saya mengamalkan minyak wangi beraura.

Tiub dipangkal peha tak bertahan lama kerana jangkitan kuman. Maka doktor terpaksa menebuk pula dileher. Doktor memberitahu prosedur menebuk itu pada pukul 2, jadi suami minta saya pulang untuk melihat anak-anak. Saya pun pulang melihat anak-anak, airmata tak mampu keluar dari mata tapi sebaliknya ia telah banjir di dalam hati.

Melihat jam hampir mencecah pukul 2, saya kembali ke wad. Alangkah terkejut, tiub telah dipasang dan sekali lagi wajah itu mencerut. Rupanya prosedur itu dipercepatkan beberapa minit selepas saya berlalu dari hospital.

Saat ini, Allah menguji dimana tahap saya boleh bertahan dan sabar. Sabar dengan kerenah kemurungan suami. Bila mana hati ini ingin menangis, saya akan ke surau dan solat sunat. Disitulah segala tangisan saya hemburkan. Tiada nasihat yang mampu membantu saya saat ini. Hanya Allah Pemilik Hati Yang Mutlak, kepadaNYA saya memohon kekuatan.

Alhamdulillah saya berjaya. Tiada tangisan yang mereka lihat dari saya. Hanya senyuman.
Sehingga habis semua orang saya yang bertembung dengan saya, saya senyum. Ada yang bertanya antara satu sama lain, " Awak kenal ke dia?" Hahaha, saya gelak dalam hati.
Senyuman itu kekuatan saya.
Senyuman itu pengganti tangisan saya.
Senyuman itu penghibur hati saya.

Suami saya ditahan selama 16 hari, 10 hari dia lalui dengan kemurungan sehinggalah bertemu seorang pesakit baru di wad yang sama. Abang Roslan dari Singapura. Satu malam, saya diminta belikan dia air dan kebetulan saya memang nak turun beli makanan. Tiba-tiba saya patah balik ke wad kerana tertinggal kad penjaga. Dan saya lihat Abang Lan sedang duduk berdepan suami saya. Saya senyum dan berlalu. Sejak itu saya lihat suami tidak lagi kemurungan.

Mungkin saya terlepas pandang kerana minda saya hanya ingin menjadi positif, saya tak sedar perbuatan suami saya itu kasar atau tidak. Bagi saya, saya telah berjanji dengan Allah untuk menerima segala kebarangkalian yang bakal saya terima atas pengorbanan suami ini. 
Rupanya kami diperhatikan oleh Abang Lan, dan dia menasihati suami agar melihat saya sedalam-dalamnya. Renung mata saya, lihat dengan mata hati.

Allah tak pernah memungkiri janjiNYA, hikmah disebalik ujian itu kami dipertemukan dengan mereka yang baik-baik. Sahabat seperjuangan memberikan cadangan kepada saya untuk meminta bantuan kewangan di mukabuka (facebook). Malu tu memang malu, tapi saya lebih takut jika suami terhenti rawatan.

Alhamdulillah, bantuan kami perolehi tanpa kami sangka-sangka. Bolehlah menampung sementara mendapat bantuan. Bukan senang meminta bantuan, umpama mengemis dibumi sendiri. Biarlah ia jadi kenangan, segala yang pahit ini kami simpan.

Saya dinasihatkan supaya amalkan Solat Dhuha. Dulu mak ayah suruh buat, tapi saya ingkar dan kata tak cukup masa. Dan inilah masanya. 

Allah menjawab doa-doa saya sepanjang saya amalkannya. Subhanallah...Menangis saya tatkala bantuan diluluskan.

Dan saat ini, bantuan masih lagi berjalan dan suami sudah cecah 5 tahun melakukan dialisis.
Saya dan anak-anak masih mampu bergurau sendi dan bersama-sama.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Suara-suara biawak.
Macam-macam suara biasa saya dengar dari waris-waris pesakit yang menunggu pesakit sedang menjalani rawatan dialisis.

Saya jadikan ia sebagai tembok persediaan saya di masa akan datang. Tak semuanya buruk. Jika kita memahami dari sudut pesakit, kita ambil sebagai panduan. Memahami perasaan mereka dan kesakitan yang mereka rasa.

Ada seorang pakcik bertanya pada saya " Setakat mana anak mampu menjaga suami anak? Anak-anak pakcik ditinggalkan pasangan mereka kerana tidak tahan sikap baran mereka."
Dan beberapa soalan, tidak boleh saya ceritakan di sini.

Alhamdulillah, saya ikhtiar untuk bertahan. Sikap seseorang yang menginap penyakit kronik ni memang sukar dijangka. Mereka banas paran. 
Kalau memahami dari hati yang tidak bersedia, mungkin akan menyebabkan perang besar.

Siapa tak akan tersentap, saya juga tidak terlepas? 
Sesungguhnya Allah itu sentiasa ada. Setiap kali tersentap, saya akan teringat akan janji-janji saya diwaktu di hospital. Ya Allah, aku telah meminta Engkau lembutkan hatinya untuk melakukan rawatan itu. Dan aku telah berjanji untuk bertahan. Ampuni aku yang teralfa. Kuatkan aku Ya Allah."


Semoga senyuman ini terus terukir walaupun seribu dugaan melanda di jiwa. Dan doa saya agar suami sentiasa ada bersama saya dan anak-anak. Semoga hati ini terus kuat dan badan ini sentiasa sihat untuk saya berbakti kepada suami dan anak-anak serta orang tua saya.

No comments:

Post a Comment