Pertama Kali TanpaMu
Teks : Maziana Zainal
Beberapa hari sebelum puasa, kami ziarahi pusara sayang. Sebak terasa. Alunan bacaan surah Yaasin dariku, anak-anak serta ayah bonda mertuamu menggamit kesyahduan.
Aku bersama anak-anak membaca dengan deraian airmata kerinduan. Kenangan datang menerpa jiwa kami. Kami sirami pusaramu sebelum pulang.
" Sayang, puasa kian hampir. Kami rindu sayang. Pertama kali puasa tanpamu sayang."
"Ayah, kami rindu ayah. Tiada lagi orang akan mengejutkan kami seperti ayah. Ayah kan selalu mengalunkan irama sahur, sahur. Sahur, sahur. Sehingga kami bangun. Ayah!"
Berjujuran airmata kami 4 beranak sambil berpelukkan. Ya Allah. Sesungguhnya kami merindui arwah.
1 Ramadhan Tiba
Sahur pertama kami agak suram. Anak-anak bangun dan termenung seketika. Merenung gambar terakhir kami sekeluarga.
Allahu, sebak itu kutelan sambil memujuk hati anak-anak.
" Along, angah, adik dengar ibu nak cakap. Ayah dah tenang di sana. Kalau ayah ada, kesian ayah. Ayah dah tak mampu menahan sakit. Kita tahu ayah sakit kan?".
Anak-anak mengganggukkan kepala tanda faham.
" Kalau ayah ada sekarang, ayah macam yang kamu lihat di hospital. Tanpa bicara, hanya mata terkebil kebil kosong. Biarlah ayah di sana bersama Allah, nanti kita bertemu jua."
"Kita tolong ayah yea. Solat dan mengaji selalu. Sebab tu ayah khatankan kamu tahun lepas, mungkin ayah tahu dia akan pergi. Ayah nak kamu solat saf depan, banyak pahala. Dapat dekat ayah di sana. Boleh?"
"Boleh ibu, untuk ibu juga."
Alhamdulillah. Iya, bukan senang mendidik hati anak-anak yang kehilangan tempat bermanja. Mereka yang tidak melaluinya, tak tahu apa rasai. Tolong jangan sekat mereka beremosi, biarkan mereka meluahkan. Cuma perlu berkongsi rasa dan membimbing mereka.
Baju Raya
Bila ditanya tentang baju raya. Mereka seolah sepakat tidak mahu baju baru, katanya " Baju arwah ayah belikan tahun lepas masih elok, kami hargai apa ayah belikan. Nak raya, ayah dah tak de ibu."
Disua soalan dari adikku tentang baju raya, aku katakan apa yang mereka katakan. Tetapi makcu mereka tak mahu mereka bersedih walaupun makcu juga merasai kehilangan abang iparnya, dibawanya kami membeli baju.
Dek kerana sepupu mereka turut serta, maka mereka terlupa akan rasa kehilangan itu seketika. Menurut sahaja untuk membelinya.
Dimalam hari, " Ibu, kami rindu ayah. Raya nanti takde ayah. Kita pergi kubur ayah yea."
Subhanallah. Bagaimana harus aku tempuhi detikdetik mendatang. Bimbinglah aku agar aku berjaya memimpin anak-anakku kelak.
Aaminn Ya Rabbal Alamiin.
No comments:
Post a Comment