Wednesday, 6 June 2018

10 Malam Terakhir Ramadhan

Sayu Dan Sebak
Teks: Maziana Zainal

Pertama kali dalam 13 tahun usia perkahwinanku menyambut 10 malam terakhir tanpa seorang suami.

Kebiasaan kami malam sebelum tidur, kami lepak diluar rumah sambil melihat permandangan malam dan menghirup udara malam. Manakala, lepas bersahur sekali lagi kami berborak diluar rumah.

Untungnya jika dapat menikmati malam Lailatul Qadar, kata arwah. Nikmat itu sukar dizahirkan, kekadang qalbu kita dapat merasai kelainan suasana.

Terasa sebak dijiwa, keseorangan tanpamu walaupun anak-anak bersama. Figura seorang suami, kini tiada. Juga figura seorang ayah kepada anak-anak, tiada lagi.

Kerinduan bertandang bila teringatkan saat untuk menyambut Syawal. Pelbagai perancangan telah abang susun. Aku hanya menurut perintah, syurga kan di kaki suami.

Aku senang menurut sahaja kerana aku tahu perancanganmu cukup sempurna dariku yang selalu cuai.

Kini dan selamanya
Saat ini akan ku didik cinta hati kita agar sentiasa mendoakan abang dan berbuat baik seperti mana ayahnya berbakti pada mereka yang memerlukan.

Bak kata sahabat handai abang, " Arwah suka tolong orang kak." 
Berkali-kali mereka lafaznya. Dengan redupan muka yang menyayangimu.

"Ibu, kami nak jumpa malam Lailatul Qadar. Kami nak doakan untuk arwah ayah, untuk ibu, untuk arwah aki dan wan, untuk adik abang dan untuk aki opah."

Subhanallah. Alhamdulillah.
Walaupun ada kalanya kalian mencabar kesabaran ibu. Disebaliknya, kamu juga kekuatan ibu ayah. Ayah pernah cakap, " Ayah bangga dengan kamu walaupun kamu selalu buat ayah marah."

Bantulah aku mendidik anak-anak ini menjadi pecinta agama, pecinta Ilmu, pecinta amal ibadah serta pecinta kebaikkan.
Berikan mereka kejayaan dunia dan akhirat.
Bimbingkanlah hati mereka agar sentiasa berakhlak baik dan mulia.
Bantulah mereka menjadi Al Hafiz yang berdedikasi.

Aamin Ya Rabbal Alamiin.

No comments:

Post a Comment