Thursday, 5 July 2018

Mimpi Yang Tak Sudah

Penyanyi : Ibnor Reza

Lagu tatkala kami berselisih faham. Kekuatan lagu ini, kami memahami salah seorang dari kami ada membuat kesilapan. Unik cara kami meluahkan.

Dengan pantas, ucapan kemaafan dilafazkan. Arwah cukup mudah memaafkan dan memberi kemaafan untuk isteri tersayangnya.


Satu Penantian

Penyanyi : Dwen

Penantian arwah suami terhadap isterinya. 8 tahun menantikan jodoh bersamaku. Tetapi perkenalan kami lebih awal dari itu. Akhirnya diijabkabulkan pada 12 Nov 2005.



Tuesday, 3 July 2018

Pesanan Terakhir

Pesanan Terakhir - Irfan Haris
Teks: Maziana Zainal

Lagu ini sering dimainkan oleh arwah di minggu terakhir sebelum dimasukkan ke hospital. Kebetulan masa memandu nak ke dusun kelmarin, Kak Maz dengar radio dan bertanya pada anak-anak. 
:
" Korang ingat tak lagu apa yang ayah selalu mainkan di youtube?"
" Lagu pesan ibu."
" Cer pasangkan, ibu nak dengar."




Subhanallah. Berderai airmata Kak Maz disaksikan oleh anak-anak. 
" Ibu, jangan nangis. Tutup. Tutup lagu tu, ibu dah nangis. Ibu, please jangan nangis."
" Ibu nak dengar lagi. "

Allah Maha Mengatur segalanya. Apa yang dipinta didalam lagu ini, alhamdulillah Kak Maz sempat tunaikan.

Antara liriknya:
" Nanti diakhir nafasku, Lihatlah ku buat kali yang terakhir. Doa doakan la aku disaat aku menghadapNYA."

Yea sayang, saat itu aku doakan kepada Allah. " Ya Allah, dia yang terbaik KAU kurniakan padaku. Dia yang teristimewa. Dia kurniaan terindah buatku dan anak anak. Jika saat ini ENGKAU ingin mengambilnya, ambillah dia dengan penuh kasih sayangMU dan dengan penuh kelembutan. Jangan sakiti dia Ya Allah.

Sayang, ziana redha abang pergi. Abang dah nak pergi yea. Ikut ziana yea abang, Allah. Allah. Allah. Allah. Sehingga nafas panjang menghembus keluar. Terukir senyumanmu. Terdengar bisikkan terima kasih darimu. Abang pergi dengan tenang. Hanya ada Ziana dan nurse sahaja.

Diawal lirik menyatakan perasaan abang pada ziana, cinta dan kasih sayang abang buat ziana memang sangat dalam.
Lirik ni menjadi kekuatan buat ziana mulai saat itu. Selalu bermain dibibir setiap masa.

Akan ziana pegang pesanan terakhir ini. Moga Allah merahmati hubung ini hingga Jannah.

Aaminn Ya Rabbal Alaamiin.

Monday, 11 June 2018

Syawal Dah Nak Mai, Ramadhan Dah Nak Pi

Teks: Maziana Zainal

Hari ni dah 26 Ramadhan 1439 Hijrah, bersamaan 11 Jun 2018.
Pejam celik, pejam celik dah nak Syawal. Cepat sungguh putaran waktu. Yealah, kita dah diakhir zaman.

Takut ada. Seram pun ada.
Pahala masih tak cukup lagi ni, dosa? Allahu. Kita ni pendosa. Sedar mahupun tak sedar kita melakukan dosa.

Saban waktu mendoakan agar diampuni dosa-dosa terdahulu dan kini mahupun akan datang. Yea benar Allah Maha Pengampun, tapi bila waktu kita mohon ampunanNYA.
Saat diuji sahaja ke?
Saat kita tersentap ke?

Pendosa tetap pendosa selagi belum memohon keampunanNYA. Sujudlah memohon ampunanNYA. 

Setiap kali diuji, muhasabahlah diri. Mungkin asbab dosa kita, Allah uji kita.
Tetapi kekadang bukan sebab dosa, kita diuji tetapi sebab Allah rindu kita.

Kadang kita ni sombong. Dah tahu berdosa, lagi mau tambah. Bukannya mau bertaubat.
Sombongkan?
Tu belum yang menyalahkan takdir, menyalahkan Allah. NAUZUBILLAH.

Pernah dengar orang cakap:
Jangan ingat orang yang bertutup litup dan ke majlis ada tu, jaminan syurga. Kekadang yang tak tutup aurat tu, ibadahnya cantik cuma silapnya tak menutup aura.

Jomlah kita buat kebaikkan di akhir Ramadhan ni. Kita bertaubat, solat taubat. Berzikir, bertasbih dan bertahmik.

Mana tahu saat kita melakukannya, jatuhnya Lailatulqadar. Allahu akbar.

Sering ingatkan diri, kita pendosa. Supaya kita sentiasa beristighfar dan memohon ampunan dari Allah Taala.

Kak Maz juga mengingatkan diri sendiri dan anak-anak supaya sentiasa berbuat baik. Kerana doa kalian, anak-anak yatim tiada hijabnya. Allah mengangkat doa-doa kamu.

Oklah, Kak Maz nak mengundur diri untuk solat taubat. Masa Ramadhan ni lah bagusnya kita laksanakannya. Pahala berganda-ganda dan mudahnya Allah memakbulkan dan mengampunkan kita.

Wallahualam.


Sunday, 10 June 2018

Patin Tempoyak

Teks: Maziana Zainal

Pahang memang terkenal dengan masakan Ikan Patin Tempoyak. Tak terkejutlah jika Temerloh diberikan jolokkan Bandar Ikan Patin. Banyak sungguh pengusaha ternakan ikan patin.

Kak Maz memang orang Pahang. Ikan patin masak tempoyak ni memang kegemaran keluarga dan yang paling best jika ia dimasak oleh ayahanda kami.

Diperumahan ayah ni, kalau ayah ajak datang kenduri pastinya mereka bertanyakan menu jamuan. Bila disebut menu ikan patin masak tempoyak, memang ramai yang datang. Siap bertambah makannya. Rezeki. Alhamdulillah.

Kini, anak-anak Kak Maz telah menurun menggemari menu ini. Setiap kali datang bermalam di Temerloh, ini menu wajib mereka.

Sejak arwah meninggalkan kami March lalu, kami berpindah ke Pahang. Beberapa bulan juga nak siap mengemas barang-barang. Sampai masa, makayah tanya bila nak mulakan bisnes. Katanya bimbang nanti kewangan menjadi masalah utama.

Memang projek Patin Tempoyak Frozen ni dah lama menjadi impian Kak Maz dah arwah. Arwah suka projek ni, siap marah Kak Maz suruh belajar dan merakam cara masak.
Tapi takdir Allah, arwah jatuh sakit dan meninggalkan kami.

Kini, demi impian kami dan demi mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak, Kak Maz teruskan bersama ayah dan mak.

Kami memperkenalkan produk terbaru kami, " Ikan Patin Tempoyak Frozen". 










Memudahkan mereka yang menggemarinya. Senang dan mudah disediakan. Hanya perlu dipanaskan di dalam periuk atau kuali dan microwave.
Senang kan?

Tiada lagi alasan tak tahu masak atau terpaksa berkelana berkilometer hanya untuk menu ini sahaja.

Ayuh! Kak Maz menerima tempahan dan membuka peluang untuk anda berniaga terutama surirumah, ibu tunggal macam Kak Maz.



Maziana Zainal
Bisnes SejukBeku
0163961956

Thursday, 7 June 2018

Cinta Ini

Teks: Maziana Zainal

Kerana cinta ini, aku menerimanya
Kerana cinta ini, aku sanggup bersamanya
Kerana cinta ini, aku bahagia disisinya

Cinta itu ku terima kerana Allah
Cinta itu ku percaya anugerah dari Allah
Cinta itu ku rasakan keberkatan dari Allah.

Saat jemari ini ingin menyarungkan cincin risik darimu
Aku berdoa kepada Allah
Ya Allah, andai ini cinta yang benar untukku dan anugerah yang terbaik dariMU
Izinkan hati ini menerima dengan ikhlas
Dan mencintainya dengan sepenuh jiwa

Percayalah sayang
Saat cincin ini menyusuri jemari manisku
Tersemat satu perasaan yang luar biasa
Segala memori lalu, terluput terus dari ingatanku
Dan yang ada hanya cintamu

Bagai sudah dijampi
Sekelip mata, hati ini terasa cintamu
Sedetik jua, hati ini hanya milikmu

Kita telah ditakdirkan bersama
Melayari impian kehidupan dengan bahagia
Bohong jika tiada badai melanda
Tetapi
Cinta kita tetap utuh kerana DIA

Impian kita memiliki zuriat kembar, Allah makbulkan
Gembira tak terhingga terpancar di wajahmu
Sehingga saat kelahiran mereka.

Kini, permata hati kita sudah 3 orang
Sedang meniti kedewasaan
Mereka bukti cinta kita

Sayang
Rupanya jodoh kita tak lama
13 tahun sayang dipinjamkan untukku
Sayang pergi diusia kita hampir mencecah 13 tahun

Janjiku disaat akhir hayatmu
Akan ku jaga dan didik permata hati kita ini
Menjadi anak-anak yang soleh
Yang akan sentiasa mendoakanmu dan aku kelak

Damailah sayang bersama Pencipta yang Maha Menyintaimu lebih dariku
Sedikit pun tidak aku cemburu
Malah aku bahagia
Sayang disisiNYA

Tiada lagi kesakitan yang perlu sayang tanggung
Tiada lagi bebanan emosi yang perlu sayang hadap

Rehatlah sayang disana
Nantikan di sana nanti
Menyusuli jejakmu.
Syurga tempat yang abadi bersama kita kembali

Al Fatihah Buat Suami Tercinta, Zalikin Bin Idrus serta ayahanda Idrus Bin Hussin dan bonda Juriah Bt Mad.

Wednesday, 6 June 2018

Usahawan Berjaya? Kena Tambah Ilmu

Teks: Maziana Zainal 

Masa kini untuk berjaya, kena tambah dan perhebatkan ilmu bisnes. Cabaran orang berbisnes zaman ini agak mencabar. Persaingan juga agak agresif.

Bisnes online macam Kak Maz memang digalakkan belajar dan terus belajar. Kak Maz lebih memilih untuk belajar secara online.

Dulu nak belajar offline susah sebab arwah suami sakit dan jadual dialisis dia sampai hari Sabtu. Masa lapang hanya pada hari Ahad. Ahadlah masa untuk keluarga.

Bila saat ada masa, ekonomi pula menduga. Tangguhlah hasrat hati. Kak Maz gali dan gali. Mana yang kos rendah dan online, Kak Maz sertai.

Tahu tak, kebanyakkan ilmu menerapkan konsep islamik. Bagus kan?
Kita berbalik pada "rezeki itu milik Allah". 

Bak kata sifu, 80% menjemput rezeki dari Pemberi Rezeki dan 20% usaha kita.
Solat 5 waktu wajib dilaksanakan. Ditambah solat sunat, Solat Dhuda dan Tahajjud. Berzikir dan berselawat selalu. Seterusnya, usaha juga wajib.

Alhamdulillah, rezeki yang hadir itu lebih berkat dan baraqah. In Shaa Allah.

Belajar penulisan blog, belajar menulis diblog dengan cara yang betul. Diselit pula tentang bisnes kita, pengalaman kita serta catatan harian kita.

Belajar tentang fotofon, ilmu menangkap gambar supaya nampak cantik dan menyakinkan.
Tang ni Kak Maz masih belajar. Bukan senang nak ambil sudut yang cantik.

Belajar copywritting, ilmu yang berguna tapi sukar. Kena asah minda berfikir kreatif dan power.

Cikgu-cikgu yang hebat ilmunya, ternyata berbaloi. In Shaa Allah.

Masih belajar dan terus belajar. Tak salah kan?