Ujian Terhebat DariMu
Suami, kekasih halalku yang dikurniakan oleh Allah Taala. Bahagianya kami bila bersama. Tiada ayat untuk menyatakan bahagianya kami.
Bohonglah jika tiada perselisihan faham, bermasam muka dan merendam cuka. Haaa, cuka tau. Bukan duka hiba nestapa.
Sepanjang melayari 12 tahun bersama, hanya pergaduhan biasa sahaja berlaku. Tiada tengking menengking, tiada pukul memukul, tiada herdik mengherdik. Betapa kami sayang satu sama lain.
Bagusnya insan bernama Zalikin Idrus ini, cepat meminta maaf jika disedarinya dia telah menyinggung hati kecil kekasihnya ini. Dibuangna ego demi isteri tersayang.
Dari awal perkahwinan, dia mengajar aku untuk menjadi seorang isteri. Apa ni? Kan dah nikah, sah sah dah jadi isteri.
Ya, dia telah menikahiku dan aku isteri. Tetapi bukan sekadar status dara kepada isteri sahaja berubah. Dan maksudku " menjadi isteri" adalah dalam pakej zahir dan batin seorang isteri.
Bukan sekadar memiliki isteri tetapi pakej isteri yang sebenarnya.
Liku liku hidup kami sentiasa diuji dengan cukup unik dan indah. Kami dipaksa menyegerakan perkahwinan walhal kami baru 3 bulan bertemu kembali.
Kami bertunang di awal pagi dan dinikahi dimalam harinya.
Walaupun begitu, suamiku cukup hebat dalam perancangannya bersama izin Allah Taala. Semuanya berjalan dengan baik. Dan paling terkejut, aku diraikan dalam 3 majlis. Ya, ia berlangsung setiap minggu, bererti 3 minggu berturut turut.
Kawin tua pun tak rugi kan?
Paling win, bila majlis dipejabatnya. Pengerusi majlis membacakan al kisah suamiku dalam mencari cintanya untuk bersamaku.
8 tahun memendam rasa cinta tetapi kecundang. Hahahaha. Itulah, siapa suruh menyakat orang selalu. Selama ini dianya aku sudah berpunya atau belum, itu adalah clue dia ingin memikat. Adooii. Awat tak terus terang.
Kalau diingatkan memang seronok dan best. Tetapi sejak detik 10 Mac 2018, peristiwa ngeri berlaku. Terlalu pantas. Terlalu berat buat kami anak beranak dan seisi keluarga.
Ku sangkakan demam biasa. Lastly bila suamiku menunjukkan tingkah laku pelik. Demam sehingga mengigil kuat kedua tangannya.
Nekad membawanya ke hospital.
"Oksigen pakcik low sangat ni puan. Kita bawa ke dalam yea (unit kecemasan)."
Maka bermulalah mimpi ngeri kami.
Dek kerana melawan arus oksigen yang masuk dan tak sampai ke peparu, suamiku ditidurkan (intubate). Dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU)
Dari sehari ke sehari kami tunggu dia kembali sedar.
Maka satu persatu ujian dilakukan kenapa dia belum sedar lagi.
12 hari suamiku koma.
Pagi itu, pakar menyatakan "Puan, Pakcik maybe koma seumur hidup".
Allahuakbar.
Seusai solat fardu zohor, aku lakukan solat hajat.
"Ya Allah jika ini ENGKAU takdirkan kepadaku, aku redha. KAU kuatkanku, tabahkanku, redhakanku dan mudahkan urusanku kelak."
Dari jangkitan kuman dalam paru paru, terjadi pula kuman dalam darah.
Kejamnya kuman dalam darah ini, dia telah bertapak diinjap jantung. Dan setiap kali jantung mengepam, maka kuman tadi akan tertembak juga.
Dalam ujian ct brain, kuman itu telah menyebabkan banyak sel di otak mati kerana tak dapat oksigen. Yang mana saluran itu disekat oleh kuman itu.
Proses kesedaran dan lain lain, terganggu sepenuhnya.
Suamiku sedar, tapi tidak seperti dulu. Dia kebingungan dan hilang ingatan.
Saat aku menulis entri ini, suamiku masih diwad. Hitung hitung, sudah sebulan seminggu.
25 di CCU
5 di wad
3 di CCU
6 di wad
Harapannya tipis, jantungnya bebila sahaja akan terhenti.
Allahuakbar.
Moga Allah mengurniakan keajaibanNYA.
Maziana Zainal
No comments:
Post a Comment