Thursday 1 June 2017

Suamiku

Suamiku
puanmazianazainal@gmail.com

Perjalanan hidup suamiku berubah sejak 5 tahun lalu. Bukan sahaja rutin harian malah sikapnya juga berubah.

Awalnya amat sukar untuk difahami tetapi dengan pertolongan Allah, alhamdulillah. Rata-rata pesakit yang menghidap penyakit kronik, sikapnya berubah secara total. Kalau tak kuat dan tak tahan, mahu sahaja berlaku perceraian. Dan kebanyakkan kajian, ramai pasangan bercerai. Mujur telah aku ketahui seawal dia disahkan sakit. Berkongsi rasa dan perasaan dengan waris pesakit.

Saban hari suami berkorban untuk merawat sakitnya demi meneruskan hidup bersama kami. Selang sehari, lengannya akan dicucuk 2 batang jarum yang besar. Selama 4 jam duduk menjalani proses mencuci darah. Darah yang dipenuhi toksin yang berbahaya. Setiap hari kena mengawal kuantiti air, bimbang ia memenuhi paru-parunya. Bila ini berlaku, badan dia akan kebiruan dan perlu dengan kadar segera ke hospital. Bahagian dada belakang akan ditebuk untuk mengeluarkan air. Kebiasaan mereka akan dimasukkan ke icu.
Mujur suamiku belum sampai ke tahap itu. Alhamdulillah.

Ujian Ramadhan buatnya.
Tahun pertama dia berpuasa sebagai pesakit amatlah mencabar. Namun dibulatkan nekad untuk menunaikannya. Aku menyokongnya walaupun aku amat takut sesuatu berlaku.
Selepas dialisis, dia mengajakku ke bazar Ramadhan. Aku turuti kerana aku tahu seleranya mungkin berbeda. Sewaktu jalan-jalan, dia merangkul lenganku dengan kuat. Aku lihat tubuhnya lemah. " Abang, kenapa ni?". Sambil tundukkan kepala dan bersandar pada tubuhku, dia berkata " Sayang, abang rasa gelap mata." Allahuakbar, mahu sahaja aku menjerit memohon bantuan tetapi dihalang olehnya.

" Sayang, pimpin abang ke kereta. Abang tak nampak jalan." Aku jadi cemas dan airmata bertahan dari melimpah. Dalam hati berbisik; Ya Allah, bantulah aku. Kudratku pada zahirnya memang tidak mampu membimbing suamiku, aku bertubuh kecil dan suami berbadan besar. Mungkin dia dapat merasa resah dihati ini, dia berkata " Sayang, jangan risau. Abang ok cuma mungkin lepas cuci darah tadi, air habis disedut mesin. Kita jalan perlahan ye."

" Abang, bukalah. Saya bimbang abang pengsan, saya mengelabah nanti".
" Takpe sayang, sikit je lagi dah nak berbuka. Sayanglah."

Selama seminggu berlaku dan atas nasihat jururawat di pusat dialisis, suami tak disarankan berpuasa pada hari cuci darah. Akhirnya dia akur.
Tetapi setelah diasuhnya sedikit demi sedikit, dia dapat tempuhinya dengan baik.

Tahun ini adalah tahun ke 5 suamiku berpuasa dalam status pesakit buah pinggang. Alhamdulillah, dia mampu bertahan. Walaupun begitu, aku tetap memantau kerana bimbang tiba-tiba dia pengsan kerana kurang gula dalam darah. Tahun lepas dia disahkan ada diabetes.

Berubah sikap, baran tanpa disedari.
Kalau orang tak tahu, disangkanya kami sedang bergaduh atau aku sedang dimarahi suami.
Suamiku ada masanya kurang mendengar. Bukan setakat suara orang berbual dengannya, malah suara dia sendiri dia kurang mendengar. Sebab itu ada masa dia berbual denganku menggunakan nada yang tinggi, orang sekeliling memerhati dan bersangka kami sedang bergaduh.

Bila moodku baik, aku akan tukar balas bualan suami kepada lawak. Tetapi ada saat badan dan minda penat. Aku akan bagi signal untuk beredar dari situ bilamana kumelihat sekeliling sedang memerhati.

Aku harus menjaga maruah suamiku walaupun orang lihat maruahku yang dicarik.
Mereka terus menghukum tanpa melihat keseluruhan. Cuma ada sesetengah manusia akan bertanya tatkala melihat kesan bengkak dan parut dilengan suamiku,
" Abang/adik sakit buah pinggang ke? Buat dialisis?. Sabarlah, ujian Allah."
Terus suamiku menggangguk dan tersenyum. Dan mereka juga tersenyum tanda faham.

Aku disapa juga dengan kata-kata, " Kita kena banyak bersabar". Mungkin dia juga mempunyai waris yang berpenyakit sebegitu.

Aku bertuah kerana suamiku adalah insan yang senang diajak berbual. Tida mudah melenting tatkala aku menegur sikapnya.
Bayangkan dengan sakit sebegitu, anak-anak pula sangat agresif dan aktif. Memang kadangkala menaikkan darah. Dan alhamdulillah, anak-anak ada masanya sangat membantu.

Ya Allah, berkati dan rahmatilah kami sekeluarga. Berikan kami rezeki melimpah ruah tanpa putusnya. Jadikan rezeki kami dimana kami berada.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.


Abang,
Akan Ziana genggam janji Ziana pada Allah saat Ziana memohon agar abang dipanjangkan usia.
Akan Ziana tunaikan janji akan bersama abang hingga ke nafas terakhir kita
Akan Ziana pegang akur janji hati ini agar menerima dengan redha apa jua yang berlaku samada perubahan sikap dan kekurangan abang.

Moga Allah selalu bersama Ziana, abang dan anak-anak. Demi keluarga kita ini.


Maziana Zainal

No comments:

Post a Comment